Stylo Clique ^_^

Wednesday, July 1, 2015

Keris Di Venice - Bab 1


HUJUNG jari telunjuk kanan dikenakan daya agar anggota itu dapat menekan butang berwarna hitam yang terletak di bahagian atas kamera. Kedengaran bunyi terhasil setelah pemandangan yang dikehendaki diambil menerusi alat tersebut sebaik sahaja tapak kakinya menekap di kota Venice. Pemandangan yang diingini jelas di skrin berbentuk segi empat itu. Bibir Qadheer Alauddin mengukir senyuman. Ada satu lekukan kecil terbentuk pada pipi kanannya.

“Grazie,” ucap Qadheer Alauddin sebaik sahaja turun daripada kereta api. Ucapan terima kasih ditujukan kepada salah seorang pekerja yang berada di Stesen Kereta Api Venezia Santa Lucia. Lelaki berketinggian melebihi 195 sentimeter itu mengangguk lalu memberikan senyuman.

“Benvenuti a Venezia (Selamat datang ke Venice),” ungkap pekerja tersebut dengan ramah dan mesra.

“Thank you,” balas Qadheer Alauddin. Dia sendiri tidak beberapa mengerti. Dia hanya mengagak yang pemuda itu mengucapkan selamat datang berdasarkan perkataan Venezia. Venezia adalah nama Venice dalam bahasa Itali yang disebut dengan suku kata Ve-neth-zia.

“Buone vacanze (Selamat bercuti).” 

Butiran kata itu yang terluah tatkala melihat penampilan Qadheer Alauddin. Cukup hanya melihat kamera di tangan dan beg sandang ala pengembara backpackers berada di belakang bahu, sesiapa sahaja tahu penampilan sebegitu adalah pelancong. Akan tetapi, bukan itu sahaja matlamat Qadheer Alauddin tiba di kota air tersebut.

Terkebil-kebil seketika mata Qadheer Alauddin apabila mendengar tutur kata lelaki itu. Qadheer Alauddin hanya mampu tersenyum lalu meneruskan perjalanan. Setelah beberapa ketika menapakkan kaki, langkahnya terhenti. Ponte degli Scalzi atau Jambatan Scalzi kelihatan di hadapan mata. Ia merupakan salah satu jambatan yang merentangi Grand Canal, terusan utama Venice yang berbentuk seperti S terbalik. Jika di Malaysia, Grand Canal ini umpama Lebuhraya Utara Selatan, laluan utama yang menghubungkan pelbagai tempat.

Qadheer Alaudin menarik nafas lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Bau air terusan Grand Canal singgah di hidung sekaligus menerjah deria baunya. Ini merupakan kali kedua lelaki berusia 28 tahun itu menghirup udara dan menjejakkan diri di bumi Venice. Apa yang dirasakan masih sama seperti kali pertama. Perasaan yang dialami umpama merentasi masa ke zaman dahulu kala kerana di kelilingi dengan struktur bangunan serta monumen yang lama lagi klasik.

Dia memandang seketika jam yang berada di tangan kiri. Waktu menjengah pukul 9.15 pagi. Qadheer Alauddin mengambil keputusan untuk membeli secawan kopi. Tekaknya sudah dapat merasa keenakan minuman tersebut sambil mata dihidangkan dengan suasana klasik seperti dalam filem The Tourist. Cermin mata hitam yang terletak di dahi diturunkan ke anggota penglihatan. Misi Qadheer Alauddin bermula.







“EXCUSE ME… Excuce me!” jerit Nadhrah dari jauh.

Orang ramai yang sedang berada di hadapannya segera ke tepi. Kaki kiri Nadhrah berada di atas papan luncur manakala kaki kanannya laju memacu supaya papan beroda itu terus bergerak.

“Ops… Sorry… Mi Scusi,” ucap Nadhrah, mengungkap kata-kata maaf tatkala bahunya berlanggar dengan salah seorang pejalan kaki yang berada di lorong itu.

Nadhrah perlu segera menghantar pesanan yang dipesan oleh pelanggan kerana bistro tempatnya bekerja punya etika dalam perkhidmatan penghantaran.

“Buongiorno Nadhrah,” sapa wanita lingkungan 40-an yang memakai apron corak bunga matahari sebaik sahaja Nadhrah melintasi hadapan kedai pastrinya. Dia mengungkap ucapan selamat pagi terhadap gadis tersebut.

Nadhrah menoleh ke belakang seketika. Dia melambai lalu memandang ke hadapan semula untuk meneruskan peluncuran.

“Buongiorno. Hai Aunty Agnese. Bye Aunty Agnese.”

Agnese hanya menggelengkan kepala. Tahu benar dia dengan keadan Nadhrah. Pasti ramai pelanggan yang membuat pesanan jika gadis Melayu itu langsung tidak sempat singgah bertegur sapa.

“Take care my dear. Jumpa lagi,” pesan Agnese dengan pelat Itali apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Nadhrah yang mengajarnya. Perkenalan dengan gadis itu sedikit sebanyak menceriakan hidup memandangkan anak-anaknya berhijrah jauh.

Ketika itu, Qadheer Alauddin menguak pintu kaca restoran setelah selesai membeli secawan mochaccino. Baki wang syiling yang dikembalikan oleh pekerja kedai minuman itu dimasukkan ke dalam poket seluar. Fon kepala yang tersangkut di leher segera dikenakan pada telinga.

“Excuse me… Signore. Excuse me, signore!” pekik Nadhrah apabila melihat Qadheer Alauddin sejauh 50 meter dari tempatnya.

Qadheer Alauddin tidak memberikan sebarang reaksi. Tangannya laju menari-nari di skrin telefon pintar. Lagu yang berkumandang terasa tidak kena pada pendengaran lalu dia mencari lagu lain yang sesuai dengan seleranya pada waktu itu. Lelaki tersebut diam berdiri tegak. Tangan yang menggenggam cawan perlahan digerakkan, mahu ditemukan dengan bibir sambil pandangan jatuh terhadap permukaan telefon.

“Signore… Sir… Sir… Encik yang kacak tengah pakai headphone!”

Habis semua bahasa terpacul, Nadhrah panik. Bentuk muka bumi lorong itu sedikit menuruni bukit.

“Ya Allah… Tak dengar ke dia ni? Dahlah nak cepat ni. Sorry sir… Could you move a bit aside? So, we don't bother each other!”




Qadheer Alauddin tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling. Nampaknya tiada cara lain, melainkan mereka akan bertembung bahu. Kaki Nadhrah mengubah sedikit haluan papan luncur ke kanan. Sudahlah lorong di Venice ini kebanyakannya sempit. Boleh dikatakan hanya muat dua hingga tiga orang berjalan dengan selesa. Seperti yang dijangka, beberapa detik kemudian bahu mereka berdua bertemu.

Tubuh Qadheer Alauddin teralih dengan sendiri dari kedudukan asal dan cawan kertas bertutup yang dipegang nyaris jatuh. Namun, dia berjaya menyelamatkan situasi itu daripada berlaku. Beg merah berat yang disandang di bahunya membuatkan Qadheer Alauddin hampir terlentang tetapi cuba diimbangi. Dia menarik nafas lega kerana dia berjaya mengawal keadaan.

Qadheer Alauddin mengukir wajah tidak puas hati. Pantas tangannya menyimpan semula gadjet tersebut ke dalam poket seluar.Tangan kanannya menurunkan fon kepala yang berada di kepala ke leher. Nadhrah agak jauh meninggalkan Qadheer Alauddin. Dia memandang penampilan Nadhrah dari belakang. Beg sandang saiz sederhana terletak pada bahu tersebut. Rambut gadis itu panjang. Namun, diikat tinggi sehingga hujung rambutnya mencecah tengkuk, memakai baju overall jean biru dan baju T di dalam berwarna merah.

“I think you should say something!” ucap Qadheer Alauddin dengan nada yang tinggi dan sinis.

Nadhrah berpaling. Dia mengangkat tangan.

“I’m sorry, signore!” balas Nadhrah dalam nada yang sama.

Qadheer Alauddin menggelengkan kepala. Dia mengibas perlahan bahagian dada serta bawah bajunya. Manalah tahu jika baju tersebut terkena air kopi yang dipegangnya tadi. Mujur tiada titisan air kopi yang terkena pada pakaiannya.

“Tapi saya ada pesanan untuk encik. Lain kali jangan pakai headphone kalau lalu kat lorong Venice ni!”

Nadhrah sengaja berbicara dalam bahasa Melayu. Pada sangkaan Nadhrah, lelaki yang bertembung dengannya tadi bukan dari Malaysia. Geram pun ada. Dari awal lagi dia meminta Qadheer Alauddin untuk memberikan laluan. Qadheer Alauddin terkejut mendengar pesanan daripada Nadhrah. Dia memberikan senyuman sinis, menampakkan sedikit sahaja barisan gigi atas.

“La… Melayu rupanya. Jangan pakai headphone kalau lalu kat lorong Venice ni? Perli ke?”

Qadheer Alauddin menundukkan pandangannya sedikit, melihat fon kepala yang tergantung di lehernya lalu matanya dihalakan ke hadapan semula.

“Saya pun ada pesanan juga untuk awak. Jangan sesuka hati aje nak main skateboard kalau lalu kat lorong Venice ni!” laung Qadheer Alauddin tetapi Nadhrah sudah jauh meninggalkan dirinya.




(gambar hanya hiasan semata-mata)
TEGUKAN mochacino mengalir sedikit demi sedikit ke tekak Qadheer Alauddin. Dia menggoncang perlahan, ternyata air tersebut masih lagi berbaki suku. Qadheer Alauddin berhenti seketika tatkala sampai di tengah-tengah Jambatan Rialto. Dia bersandar di selusur tembok jambatan tersebut. Di hadapannya, Qadheer Alauddin dapat melihat struktur binaan seakan pintu gerbang dan deretan kedai menjual barangan kulit dan cendermata di sepanjang jambatan.

Jambatan Rialto atau Ponte de Rialto merupakan jambatan tertua dan terkenal di Venice yang menghubungkan San Marco dan San Polo. Ia telah dibina seawal tahun 1180 dan pernah runtuh beberapa kali. Namun, jambatan ini diperkukuhkan lagi dengan pembinaan batu marmar berdasarkan idea Antonia de Ponta sekitar akhir abad keenam belas iaitu bermula pada tahun 1588 dan siap pada 1591. Terdapat tiga laluan pejalan kaki yang merentasi jambatan ini, dua di sepanjang birai luar dan satu yang lebih luas di tengah yang memisahkan dua deretan kedai. Para pelancong dapat melihat panaroma yang cantik sepanjang Grand Canal terutama sekali waktu menghampiri senja. Sememangnya padan Jambatan Rialto berwarna putih itu digelar sebagai Jantung Venice.






Mata Qadheer Alauddin tertumpu seketika pada aliran Grand Canal. Air terusan yang menjadi nadi Venice itu seakan warna hijau permata zamrud. Terdapat beberapa gondola baru sahaja melalui lengkungan gerbang bawah jambatan itu lalu pergerakan gondola dan dayung membentuk gelombang kecil pada permukaan air. Sebagaimana Venice yang terkenal dengan gelaran Kota Air, maka segala perhubungan pengangkutan melalui sungai dan terusan. 




Sedang dia asyik menikmati keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang bergegar pada poket seluar kirinya. Qadheer Alauddin mengeluarkan telefon bimbit. Tertera nama My Girlfriend pada skrin telefon pintarnya.

“Assalamualaikum amore mio.”

“Waalaikumussalam. Siapa pula am… am… more mio ni? Cerita Do Re Mi P.Ramlee ke?”

Qadheer Alauddin tergelak kecil. Sememangnya wanita yang berada di hujung talian tersebut peminat setia cerita seniman agung negara itu.

“Amore mio tu maksudnya my love. Kekasihku. Kata kat kota romantis, kenalah cakap bahasa Itali. Al pun tak pandai sangat cakap, tapi kenalah tahu sikit-sikit.”

“Amboi, ada hati ke nak duduk sana?” teka Fatimah.

“Al ada nenek kat Malaysia. Buat apa Al nak duduk sini? Nenek tengah buat apa? Tengah makan karipap sambil tengok cerita Korea ke?”

“Kau ni Al, macam tahu-tahu aje. Sekarang ni tengah tengok cerita yang Kim Woo Bin berlakon tu. Lee Min Ho jadi hero tapi nenek lagi suka Kim Woo Bin.”

Qadheer Alauddin berkerut sekejap. Dia bukan kenal pun siapa pelakon Kim Woo Bin dengan Lee Min Ho tu. Neneknya lebih maju ke hadapan kalau bercerita mengenai drama yang ditayangkan di kaca televisyen. Sebut apa sahaja cerita, tidak kisahlah Melayu, Hollywood, Hindustan, apatah lagi Korea, semuanya umpama di hujung jari Fatimah.

“Yalah nek. Sekarang Malaysia waktu petang. Kalau petang-petang macam ni, memang itu ajelah kegiatan tanpa henti nenek dengan Cik Hawa tu. Tak tengok drama Melayu, tengok Hindustan. Tak pun tengok drama Korea. Lepas tu nangis sorang-sorang,” balas Qadheer Alauddin dan dalam masa yang sama menguntum senyuman. Hampir ketawa pun ada juga mengenangkan kerenah neneknya itu. Mak Cik Hawa atau panggilannya Cik Hawa adalah pembantu rumah keluarga Qadheer Alauddin. Cik Hawa sudah berkhidmat lebih daripada 10 tahun. Mujur ada Cik Hawa, sekurang-kurangnya pembantu rumah itu boleh jadi peneman Fatimah sekiranya tiada sesiapa di rumah.

“Sebab tulah nenek ajak Cik Hawa kau nangis sekali dengan nenek. Kalau tak Cik Hawa yang temankan nenek, siapa yang nak temankan nenek? Nak harapkan Al, asyik lari aje kalau nenek tanya pasal kahwin. Ke Al memang nak lari? Sebab tu pergi Venice, kan?”

Suara wanita itu jelas meninggi sedikit berbanding tadi.

“Nenek yang sangat Al sayangi, kenapa pula Al nak lari daripada nenek? Kan Al ada beritahu yang Al nak datang Venice.”

“Memanglah Al ada beritahu tapi nenek baru teringat yang hujung minggu ni cucu nenek Sarah, kawan nenek tu nak datang. Ooo… Pandai ya kau. Lari jauh-jauh sampai ke sana tu, biar nenek tak dapat cari kau.”

Qadheer Alaudin dapat mengagak perkara ini yang akan berlaku. Lagipun memang itu juga matlamat lelaki tersebut datang ke Venice. Tidak sudah-sudah Fatimah mahu mencari jodoh yang sesuai untuk dirinya.

“Eh? Ya ke nek? Minggu ni ke? Bukan bulan depan?”

“Kau nak main wayang pukul 4 petang ke, Al?” perli Fatimah.

Qadheer Alauddin tersenyum lagi. Memang tiada perkara yang dapat dia sembunyikan daripada perempuan tua itu.

“Nenek, kan Al dah ada girlfriend. Neneklah girlfriend dan kesayangan Al. Buat apa nak susah-susah carikan untuk Al?”

“Qadheer Alauddin bin Alam Syah, kau nak kena luku kepala ke? Nasib baik telefon ni tak ada lubang. Kalau tak, nenek dah piat-piat telinga tu. Nenek ni tetap nenek kau. Al dah umur 28 tahun. Dah sesuai sangat kahwin. Asyik pergi majlis orang aje tak sudah. Nenek nak buat kenduri kahwin untuk Al. Nenek nak merasa juga dapat cucu menantu,” bebel Fatimah.

“Nenek, bak kata John Lennon, Life Begins at 40. Masa tu Al kahwin. Dia orang yang dah kahwin tu sebab dah sampai seru. Al ni belum sampai lagi jodoh. Nenek nak cucu menantu lagi? Kan kakak dah kasi cucu menantu siap seorang cicit lagi. Masih tak cukup ke?” balas Qadheer Alauddin.

“Pandainya kau cakap. Kau nak menyeru apa? Menyeru jatuh dari langit? Nak tunggu umur kau 40, belum tentu kau dengan nenek hidup masa tu. Masa tu memang sampailah serunya. Seruan bertemu dengan Ilahi. Nenek nak menantu perempuan sebelum nenek pergi. Kakak kau dah tentunya ikut suami dia,” leter orang tua itu lagi.

“Nenek ni ada ke seru macam tu pula. Al ni hari-hari doa biar nenek umur panjang. Bila sampai masanya nanti, Al kahwin. Sekarang ni, Al belum bersedia lagi.”

“Ha, macam tulah ayat kau. Dah klise sangat. Kau tak kasihankan nenek ke, Al? Kalau esok lusa nenek tak ada macam mana?”

“Nenek tak ada? Nenek nak pergi mana?”

Qadheer Alauddin tahu maksud sebenar Fatimah. Dia juga telah menghafal ayat yang bakal keluar daripada mulut neneknya sebentar lagi.

“Kau macam tulah selalu. Kalau nenek dah pejam mata nanti, tak sempat nenek nak tengok cucu nenek yang lelaki ni bersanding. Kau nak nenek masuk batu belah batu bertangkup ke? Al dah tak sayangkan nenek?” tanya Fatimah, sudah memulakan drama sedih nampaknya.

Untuk beberapa baris ayat yang terakhir itu, Qadheer Alauddin sempat menggerakkan bibirnya mengikut kata-kata Fatimah tanpa bunyi. Memang dia tahu ayat itu yang akan didengarinya.

“Mestilah Al sayang girlfriend Al ni. Nenek, kat GPS tak jumpa lokasi batu belah batu bertangkup tu. Yang ada cuma Batu Caves dengan Batu Pahat aje. Nenek tak payah pergi sana. Ya… Ya… Nanti, bila Al dah balik Malaysia, Al jumpa dengan semua calon nenek tu. Satu hari kita adakan sesi beramah mesra, macam interviu tu. Ok?” pujuk Qadheer Alauddin.

“Betul? Kau jangan berangan nak duduk sana ya. Nenek dah tak mahu menantu dari negeri orang putih tu lagi. Biarlah kat Malaysia ni. Senang sikit kalau nenek nak pergi masuk meminang.”

“Kalau Al jumpa jodoh kat sini macam mana pula, nek? Jodoh ni kita tak tahu, kan? Manalah tahu kat sini terselit perempuan Melayu terakhir yang Al cari.”

“Mana ada perempuan Melayu terakhir kat Venice tu. Nenek tak nak menantu tak cukup pakai kain, rambut kejung kena celup dengan besi karat. Dah tak ada beza rambut dengan jerami padi. Nanti bukan tahu makan belacan…”

Fatimah meneruskan celoteh dan bebelan. Qadheer Alauddin menjarakkan telefon bimbit dari telinga. Dia mula membuat mimik muka keletihan. Telinga kirinya digosok perlahan. Sudah mula terasa panas.

Dia memandang sekeliling. Seorang ibu dan kanak-kanak warga tempatan sedang berjalan di hujung Jambatan Rialto. Kanak-kanak perempuan itu kelihatan comel dan manis mengenakan gaun paras lutut. Kepalanya pula dihiasi dengan skarf dan sebentuk aksesori rama-rama sebagai pin rambut. Entah bagaimana, beberapa detik kemudian kanak-kanak itu terjatuh dengan sendirinya.





Tuesday, December 30, 2014

You Are My Mr.RIght - Bab 15



BAB 15

Suasana redup dan hijau terbentang di hadapan mata. Rumah teres dua tingkat yang terletak di penghujung jalan itu sememangnya lain daripada deretan rumah yang ada di kawasan sekitar. Qhayrul dapat menjangkakan tuan punya rumah tersebut semestinya mementingkan keindahan alam semula jadi. Pemilik rumah jelas memanfaatkan ruang tanah yang sedia ada sebaik mungkin untuk mewujudkan taman mini hijau di kediaman itu. Sekali-sekala angin yang bertiup menyentuh lembut anggota yang ada. Angin yang lalu di celahan dedaunan memberikan satu bau yang segar lagi nyaman.
“Ibu?” panggil Rafi Huzaifa.
“Ya, Rafi. Kenapa?”
“Ni rumah atuk dengan nenek ke?”
“Ha’ah. Nilah rumah atuk dengan nenek Rafi.”
“Habis tu, kenapa ibu tak nak masuk? Jomlah. Rafi tak sabar nak jumpa atuk dengan nenek,” ajak Rafi Huzaifa sambil tangannya menggoncang lalu menarik tangan Yusra Dahliyaa.
Wanita itu segera mengeraskan anggota. Dia belum bersedia lagi untuk melangkah. “Rafi tunggu kejap ya. Ibu nak tengok dulu atuk dengan nenek ada ke tak kat dalam rumah.”
“Kalau kita tak masuk, macam mana nak tahu. Jomlah, ibu... Jomlah,” kata Rafi Huzaifa dan terus melakukan perbuatan yang sama seperti tadi.
“Rafi, dengar cakap ibu. Jangan nak merengek macam ni,” tekan Yusra Dahliyaa. Perasaan gementar dan resah dalam jiwa bertukar menjadi sedikit marah tatkala anak kecil itu terus-menerus mendesak untuk masuk ke dalam.
Sudahnya, Rafi Huzaifa melangkah ke sisi Qhayrul. Qhayrul tidak mahu masuk campur. Dia membiarkan sahaja Rafi Huzaifa berdiri di sebelahnya. Qhayrul terus menikmati apa yang ada di pandangan. Ada ketika dia menjengah. Manalah tahu ada kelibat di halaman. Lelaki itu tertarik dengan pagar hidup yang hampir memenuhi sekeliling rumah.
Pokok acalypha siamensis atau dikenali dengan pokok daun teh ternampak kemas tumbuh di sekitar. Ia tanaman bercabang dan membentuk semak yang cantik lagi hijau. Daunnya berukuran sedang dan tumbuh rumpun, sememangnya sajak dijadikan pagar semula jadi. Ia sesuai dijadikan penyerap bunyi bagi mengurangkan kebisingan dari aktiviti kota seperti lalu-lintas kenderaan kerana dedaun pokoknya mampu menyerap kebisingan. Tambahan lagi tumbuhan ini juga mampu menjadi penghadang daripada habuk dan debu jalan raya kerana dedaun pokok bertekstur halus boleh memerangkap habuk yang terapung di udara apabila di tiup angin.
Selain daripada flora tersebut, terdapat juga sepohon buah mangga rendang yang terletak di kawasan luar rumah. Kelihatan putik buah baru sahaja bercambah. Tunggu sahaja beberapa minggu lagi, pasti sudah ternampak bentuk buah tersebut.
Usai sahaja puas memandang sekeliling, pandangan Qhayrul singgah semula ke arah Yusra Dahliyaa. Sejak keluar dari kereta sehinggalah sekarang, itulah ekspresi dan tindak-tanduk wanita itu. Sekejap tangannya mahu menyentuh suis loceng, tetapi tidak lama lepas itu dia membatalkan niatnya. Akhirnya, Qhayrul melangkah perlahan menghampiri Yusra Dahliyaa. Kemudian, jari telunjuk kanan Qhayrul menyentuh butang bewarna putih itu. Serta-merta bunyi loceng bergema di dalam rumah dan sayup kedengaran menghampiri keluar. Tidak cukup sekali, Qhayrul menekan sehingga tiga kali. Selamba sahaja wajah itu memandang Yusra Dahliyaa.
“Kenapa Encik Wira tekan loceng tu? Patutnya saya yang tekan,” marah Yusra Dahliyaa.
“Habis tu, Cik Yusra dari tadi teragak-agak. Dah sampai, tapi dah dekat lima minit Cik Yusra tengok loceng tu. Memang asal suis tu empat segi, dah boleh jadi berlubang tembus sampai dalam rumah. Saya sampai dah boleh tahu pokok apa yang ada kat sekeliling rumah awak ni. Saya tolong tekan aje. Jadinya, masalah awak nak tekan loceng tu dah selesai, kan?” balas Qhayrul tanpa ada rasa bersalah.
“Awak memang tak faham apa yang saya rasa. Saya nak sampai ke sini pun perlukan kekuatan. Kalau macam nilah sikap Encik Wira, lebih baik kita balik aje. Kita tak payah jumpa mak dengan ayah saya,” bentak Yusra Dahliyaa lalu mahu melangkah meninggalkan Qhayrul di situ.
Yusra Dahliyaa menarik tangan Rafi Huzaifa, tetapi tangan Qhayrul terlebih dahulu menggenggam pergelangan perempuan itu.
“Cik Yusra, sampai bila awak nak lari?”
Yusra Dahliyaa berusaha untuk melepaskan genggaman Qhayrul yang terasa agak kuat itu. “Lebih baik Encik Wira lepaskan saya. Saya nak balik.”
“Saya tak akan hantar Cik Yusra balik.”
“Baik. Kalau awak tak nak hantar, saya boleh cari teksi. Lepaskan saya.”
“Saya tak akan lepaskan awak, Cik Yusra. Kita dah dekat depan pintu pagar ni. Bukan kat depan pintu kereta setengah jam yang lepas.”
“Encik Wira, saya dah cerita semuanya dengan awak tadi. Awak masih tak faham-faham ke kenapa saya jadi macam ni? Saya nak pergi sebelum ada sesiapa keluar.”
Saat mereka bertengkar ketika itu, bunyi selak pagar sisi digerakkan muncul. Yusra Dahliya dapat mendengar dengan jelas bunyi tersebut. Dia masih lagi berusaha untuk melepaskan diri daripada Qhayrul, tetapi tidak berjaya.
“Ibu... Rafi tak nak ikut ibu. Rafi nak jumpa atuk dengan nenek.”
“Rafi!”
Perlahan-lahan pintu besi berketinggian 1.8 meter itu dikuak ke luar. Seorang perempuan tua kelihatan pada penglihatan Qhayrul. Yusra Dahliyaa yang berpaling daripada melihat rumahnya itu terdiam kaku seketika. Dia masih lagi belum bersedia untuk menerima sebarang akibat tatkala tiba di situ. Namun, demi wasiat dan amanah yang diberikan oleh Idrus Wira serta permintaan Rafi Huzaifa, dia gagahkan juga semangat yang berbaki sisa itu.
“Anak berdua ni cari siapa?” soal Hamidah apabila melihat kelibat mereka berdua di luar rumah.
“Mmm... mmm.... mak cik,” balas Qhayrul dengan tergagap. Dia tidak tahu perkataan apa yang sesuai dituturkan.
Qhayrul memandang wajah Yusra Dahliyaa yang begitu hampir dengannya. Akan tetapi, Yusra Dahliyaa hanya menggeleng. Masih lagi tidak mahu menoleh belakang.
“Anak berdua ni kenapa ya? Ada nak cari siapa-siapa ke? Ke anak ni sesat jalan?” soal Hamidah berterusan. Dia cuba membaca riak wajah Qhayrul seperti ada yang tidak kena.
“Tak, mak cik, bukan macam tu. Sebenarnya...” Qhayrul masih lagi teragak-agak untuk berkata-kata.
“Sebenarnya apa? Anak nak minta tolong sesuatu ke?” duga Hamidah lagi.
Anak mata Hamidah tertunduk sekejap kerana dia merasakan ada sepasang mata lain sedang memerhatikan dirinya. Rafi Huzaifa sedang menghadiahkan senyuman ke arahnya. Hamidah juga membalas. Walau bagaimana pun ada sesuatu yang biasa dia lihat melalui ukiran bibir tersebut.
“Cik Yusra cakap saya tak faham Cik Yusra? Saya cukup faham macam mana rasanya dibuang oleh ayah sendiri. Sekurang-kurangnya awak baru enam tahun dibuang oleh ayah awak. Saya? Awak tahu kan sejak lahir saya langsung tak pernah dianggap sebagai anak. Saya cukup tahu perasan tu, Cik Yusra. Sampai bila awak nak lari? Sampai ayah awak mati? Sampai mak awak dah tak ada baru awak nak balik rumah ni? Macam tu?” tanya Qhayrul dalam nada suara hanya mereka berdua sahaja dengar.
Yusra Dahliyaa tergamam. Gegendang telinga yang menangkap suara Qhayrul terus mengalir ke dalam hatinya yang kian rapuh itu. Mata Yusra Dahliyaa terasa panas. Manik jernih yang cuba ditahan, sudahnya bertakung pada kelopak bawah mata itu. Susunan ayat Qhayrul seperti menyedarkan Yusra Dahliyaa.
“Yusra...”
Yusra Dahliyaa memejamkan mata tika namanya meniti di bibir insan yang melahirkan dirinya ke dunia. Air mata itu tumpah sehinggakan Qhayrul dapat merasakan kehangatan air tersebut tatkala menitis ke tangannya.
“Kamu anak mak ke? Yusra Dahliyaa?”
Gerak bahasa tubuh Qhayrul meminta wanita itu berpaling. Yusra Dahliyaa segera menggeleng.
“Kalau betul kamu Yusra Dahliyaa yang mak kandungkan selama sembilan bulan tujuh hari... mak nak kamu pandang mak sekarang,” pinta Hamidah disulami dengan suara yang tersekat-sekat. Hatinya menjadi sebak. Senyuman kanak-kanak lelaki itu memang serupa dengan Yusra Dahliyaa ketika kecil.
Tangan Yusra Dahliyaa menyapu pipinya. Sedikit demi sedikit sentuhan kuat Qhayrul yang berada di pergelangan Yusra Dahliyaa terlerai. Jiwa Yusra Dahliyaa sememangnya meronta kuat untuk memeluk Hamidah. Rindu yang tersimpan selama enam tahun membuatkan Yusra Dahliyaa mahu terus mendakap ibunya. Yusra Dahliyaa berpaling. Yusra Dahliyaa menekup mulut untuk menahan bunyi esakannya keluar.
“Yusra...” Hanya itu yang kedengaran.
Mata Hamidah hanya tertumpu ke arah anak perempuannya. Dia sama sekali tidak menyangka hari yang ditunggu selama ini sudah tiba. Mahu sahaja dia terduduk di situ, tetapi tangan Hamidah yang berurat itu segera memaut pagar. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat.
“Mak... ni Yusra, mak.” Tanpa mahu berfikir lagi, Yusra Dahliyaa laju meluru menuju ke tempat Hamidah berdiri. Dia mendakap erat dan menangis semahu-mahunya.
“Mak...Yusra minta ampun, mak. Yusra minta maaf. Yusra banyak dosa dengan mak.”
Hamidah mendiamkan diri. Dia sudah tidak mampu bersuara. Hatinya mengucap syukur dan terharu kerana Allah telah memakbulkan doanya selama enam tahun ini.
“Mak, Yusra dah derhaka dengan mak.”
“Yusra anak mak. Yusra tak pernah derhaka dengan mak,” ucap Hamidah dalam masa yang sama membelai lembut kepala anak tunggalnya itu.
Hamidah sama sekali tidak menganggap Yusra Dahliyaa sebegitu. Dia tidak mahu setiap hembusan nafas anak yang sudah dikandungnya 26 tahun yang lalu tidak diberkati dan tidak mendapat keredaan daripada yang Maha Esa.
Tidak cukup dengan dakapan, Yusra Dahliyaa menatap muka Hamidah. Dia mengucup kedua-dua belah pipi itu dan Hamidah juga melakukan perkara yang sama.
“Sudah... sudah... Kita masuk dalam. Nanti orang kata apa pula nampak kita menangis kat luar ni. Ajak sekali kawan Yusra tu masuk,” ajak Hamidah sudah menarik tangan Yusra Dahliyaa, tetapi wanita itu menahan.
“Mak...”
“Kenapa, Yusra?”
Yusra Dahliyaa tersenyum. Dia memanggil Rafi Huzaifa yang berada di sisi Qhayrul. Tanpa banyak soal, Rafi Huzaifa menurut. “Mak... ni anak Yusra, Rafi Huzaifa bin Syafiq Ra’if. Cucu mak.”
Pandangan Hamidah berganti. Dia segera melutut dan menyentuh wajah Rafi Huzaifa. “Yusra... ni cucu mak? Mak dah jadi nenek?”
Yusra Dahliyaa mengangguk. Bibirnya diketap, menahan sebak yang semakin menjalar dalam hati.
“Ya Allah... mak dah ada cucu.” Hamidah tidak dapat mengawal diri daripada terus mendakap Rafi Huzaifa. Rafi Huzaifa juga tanpa rasa janggal membalas pelukan pertama neneknya itu.
“Rafi... ni nenek. Cuba Rafi panggil nenek,” mohon Hamidah sambil mengusap pipi Rafi Huzaifa.
“Nenek.” Rafi Huzaifa menyebut sambil bibirnya tersenyum. Gembira tak terkira wanita tua itu memeluknya. Rafi Huzaifa menyentuh tangan kanan Hamidah. Dia bersalaman dan mengucup tangan tersebut.
“Pandainya cucu nenek ni,” puji Hamidah. Senyuman Rafi Huzaifa semakin melebar.
“Ra’if mana, Yusra? Dia tak datang sekali ke?”
Yusra mendiamkan diri. Dia memerlukan kekuatan untuk menceritakan hal tersebut. “Nanti Yusra cerita kat mak.”
Raut muka Hamidah mempamerkan sedikit perubahan apabila mendengar balasan kata anaknya. Dia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Hamidah segera menjatuhkan pandangan terhadap Rafi Huzaifa. “Rafi, kita masuk dalam ya. Kita jumpa dengan atuk.”
Qhayrul tertunduk sekejap melihat situasi mereka bertiga tadi. Alangkah bahagianya jika dia juga berada dalam keadaan seperti itu. Dia sudah membayangkan kalau Idrus Wira lebih awal muncul, ketika umurnya seperti Rafi Huzaifa, pasti perasaan gembira seperti anak kecil itu terbit dalam dirinya.

----------------------------

“Mak, ayah marahkan Yusra lagi ke?” tanya Yusra Dahliyaa sejurus sahaja kakinya melangkah masuk.
Hamidah tidak terus menjawab. Sebaliknya air mata pula yang mengalir. Tangan Hamidah berlabuh di pipi anaknya itu. “Yusra tetap anak ayah. Walau apa pun yang terjadi. Ingat tu.”
“Bagi Yusra, ayah tetap ayah Yusra sampai bila-bila. Tapi, Yusra ingat apa yang ayah cakap enam tahun lepas. Mak dah lupa ke apa yang ayah cakap? Ayah tak nak Yusra jejakkan kaki kat dalam rumah ni sampai bila-bila. Rumah ni bukan rumah Yusra lagi. Yusra memang dah tak ruang langsung dalam keluarga ni.”
“Ayah cakap dalam keadaan marah. Janganlah Yusra simpan dalam hati.”
“Yusra tak kuat, mak. Macam mana kalau ayah halau Yusra?”
“Dah enam tahun, Yusra. Cukup-cukuplah tu. Mak dah tak mampu nak hadapi lagi. Yusra ingat mak boleh ke tanggung semua ni lagi? Mak yang lahirkan Yusra. Rahim mak ni membesar, mengandungkan Yusra. Naluri seorang ibu selalu bimbang dan risaukan anak bila anak tak ada kat depan mata. Takkan Yusra tak boleh nak faham? Yusra sendiri dah ada Rafi. Sudah-sudahlah bergaduh dengan ayah.”
“Yusra tak ada niat langsung nak sakitkan hati mak. Yusra dah jumpa mak. Cukuplah. Yusra tak nak terus buat ayah marah. Yusra ingat Yusra dah sedia nak jumpa ayah, tapi rupanya tak. Mak, izinkan Yusra pergi mak. Yusra...”
“Midah, apa yang bising-bising kat bawah tu? Siapa yang datang?” Belum sempat Yusra Dahliyaa menyudahkan ayat, satu suara muncul dari tingkat atas.
Mata Yusra Dahliyaa mendongak ke arah suara tersebut. Dia dapat menjangkakan yang Fadhil akan turun sebentar lagi. Sebelum segalanya lebih buruk, Yusra Dahliyaa mahu segera beredar. “Mak, Yusra minta maaf. Yusra memang tak boleh jumpa dengan ayah. Yusra nak balik.”
Badan Qhayrul laju menghadang ruang yang ada pada pintu masuk. Hamidah pula sudah menggenggam erat tangan Yusra Dahliyaa.
“Awak... saya tak boleh. Encik Wira, tolong faham keadaan saya.” rayu Yusra Dahliya. Wajahnya penuh dengan harapan agar lelaki itu mengerti dengan keadaannya.
“Saya tengah tolong awak, Cik Yusra.”
Ternyata Yusra Dahliyaa sudah tidak boleh lari lagi. Dia menangis di situ hingga terduduk. Dirembeskan semua air mata yang ada agar terluah rasa yang terbuku di hati. Yusra Dahliyaa memejamkan mata. Bunyi tapak kaki bertemu dengan permukaan tangga kedengaran. Sedikit demi sedikit bunyi tersebut menuruni dan ia semakin menghampiri. Wanita itu hanya mampu membekukan diri di situ.
“Midah, kita ada tetamu ke?” duga Fadhil sambil berdiri pada anak tangga terakhir. Anak mata Fadhil memandang Qhayrul lalu ke Rafi Huzaifa.
Qhayrul yang turut bertaut pandangan dengan lelaki tua itu terkesima apabila wajah tersebut muncul. Melalui reaksi Fadhil, dia dapat meramalkan yang Fadhil seakan-akan tidak mengenali dirinya. Qhayrul berpaling ke tempat lain. Matanya hinggap pada satu sudut dinding yang dipenuhi dengan bingkai gambar ahli keluarga rumah tersebut. Qhayrul terus memerhatikan ciri yang ada pada insan yang berada di hadapannya itu.
Fadhil memiliki kumis yang nipis, uban hampir memenuhi separuh kepala dan saiz badan sedikit berisi serta berketinggian sederhana. Memang tidak syak lagi lelaki itu yang dia temui tempoh hari. Tidak menyangka ada pertemuan kali kedua antara mereka. Sama seperti takdirnya dengan Yusra Dahliyaa.
Fadhil dapat merasakan ada yang tidak kena apabila melihat pipi isterinya itu kelihatan basah. Raut muka Hamidah kelihatan sembap kerana menangis. “Midah, siapa perempuan tu?”
Tatkala mendengar sahaja pertanyaan suaminya itu, Hamidah terus terduduk di sisi Yusra Dahliyaa. Hamidah sudah nekad waktu itu. Apa pun yang terjadi, dia mahu melindungi Yusra Dahliyaa. “Abang...”
“Saya tanya awak, Midah. Siapa budak perempuan ni?” Intonasi Fadhil kian meninggi. Deria keenamnya kuat mengatakan yang gadis itu adalah Yusra Dahliyaa. Masakan dia boleh lupa susuk badan anaknya yang pernah didukung sejak umur satu hari lagi.
“Ni Yusra, abang. Yusra Dahliyaa, anak kita.”
“Saya dah cakap dengan awak enam tahun dulu, Midah, kita tak ada anak yang sanggup conteng arang ke muka kita.”
“Dosa apa yang anak kita dah buat abang sampai abang sanggup buang dia sampai macam tu sekali?”
“Dia ni bukan darah daging saya. Keturunan saya tak ada yang tak mendengar kata. Kenapa awak benarkan orang luar masuk dalam rumah tanpa kebenaran saya? Awak lupa ke apa hukumnya Midah membenarkan orang luar masuk tanpa izin suami?!”
“Tapi, Yusra bukan orang luar abang. Dia anak kita.”
“Kan saya cakap, saya tak ada anak macam dia ni. Awak tak faham-faham lagi ke, Midah? Saya tak nak dia masuk dalam rumah saya!”
Mata Yusra Dahliyaa terkatup rapat. Pedih dan perit rasanya mahu menelan kata-kata seperti itu sekali lagi. Dia tidak mampu bersuara. Yusra Dahliyaa merasakan dia memang berdosa kerana menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa, terutama sekali ayahnya.
“Pak cik, dengar dulu apa yang Yusra nak cakap,” celah Qhayrul. Berbeza benar sifat Fadhil. Yang dijumpa dahulu kelihatan tenang, yang kini marah meradang.
“Kau ni siapa pula? Lebih baik kau diam. Kau jangan masuk campur. Lebih baik kau bawa dia ni keluar, sebelum aku yang halau dia keluar. Dia bukan ahli keluarga rumah ni.”
Qhayrul terkejut. Fadhil jelas sudah hilang pertimbangan.
Rafi Huzaifa sudah meluru ke arah Yusra Dahliyaa, kemudian memeluk wanita tersebut. Dia juga menangis apabila melihat Yusra Dahliyaa dimarahi begitu teruk tanpa ada sebab. Rafi Huzaifa tidak mengerti kenapa lelaki tua itu bersuara tinggi terhadap ibunya.
“Kalau abang dah tak ingat Yusra ni anak abang, tapi saya masih lagi anggap yang dia anak saya. Sembilan bulan tujuh hari, abang, sembilan bulan tujuh hari saya bawa dia dalam rahim saya ni ke hulur ke hilir. Muntah, mual dengan loya tekak saya masa mengandungkan Yusra, saya tak lupa, bang. Sakit dan ngilu yang saya tanggung masa meneran untuk lahirkan dia kat dunia ni masih lagi dapat saya rasa. Abang nak suruh saya lupakan yang Yusra ni anak saya? Abang tak rasa semua tu, sebab tu abang boleh anggap yang Yusra ni bukan anak abang lagi.
“Saya dah nekad. Apa pun yang abang nak buat, saya tak akan benarkan Yusra Dahliyaa keluar dari rumah ni. Saya ni emak dia. Abang jangan lupa tu,” luah Hamidah. Apa yang disimpan akhirnya terpacul keluar dari mulutnya yang selama ini membisu. Sudah cukup dia mengalah demi menjaga hati suaminya.
Fadhil terkelu. Hamidah yang Fadhil kenal selama ini akan menurut apa sahaja perintah dan permintaannya. Isterinya itu langsung tidak pernah membantah. Namun, segalanya berubah pada hari ini.
“Baik. Saya turutkan keputusan awak, Midah. Kalau awak tak nak budak ni keluar dari rumah ni, biar saya, suami awak ni yang keluar,” balas Fadhil kemudian melangkah mahu menuju ke tempat gantungan kunci.
Saat menapak, Fadhil memberhentikan kaki seketika. Tangannya menyentuh dada. Mata Qhayrul dapat menangkap perbuatan Fadhil. Pasti sakit orang tua itu berulang kembali. Akan tetapi, Fadhil tetap menggagahkan diri untuk mengambil kunci keretanya.
“Mak, biar Yusra yang keluar. Mak dengan ayah jangan gaduh sebab Yusra. Biar Yusra yang pergi. Asalkan jangan ayah yang keluar.” Pergerakan Yusra Dahliyaa sudah mahu untuk berdiri.
Tetapi, Qhayrul segera tunduk dan melutut. “Cik Yusra, dengar apa yang saya nak cakap ni.”
“Apa lagi yang saya kena dengar, Encik Wira? Awak tak dengar ke apa yang ayah saya cakap tadi?”
Qhayrul seperti dalam keadaan tergesa-gesa. Sekejap pandangannya menatap Yusra Dahliyaa, sekejap ke arah Fadhil yang sudah menggapai kunci kereta. Tangan Qhayrul kedua-duanya berada di bahu Yusra Dahliyaa.
“Kalau Cik Yusra nak baik semula dengan ayah Cik Yusra, awak kena tinggal kat dalam rumah ni. Awak faham tak? Pasal ayah awak, biar saya yang uruskan. Ini kunci kereta. Saya nak bila saya keluar dengan ayah Cik Yusra nanti, Cik Yusra ambil semua kelengkapan Cik Yusra dengan Rafi. Tinggal kat sini sampai Rafi habis cuti sekolah.”
Kebetulan ketika ini cuti sekolah selama seminggu sudah bermula. Qhayrul merasakan inilah waktu yang sesuai untuk keluarga itu bersatu semula. Carik-carik bulu ayam, lama-lama akan bercantum juga. Kunci kereta yang berada di dalam poket sudah bertukar tangan.
Yusra Dahliyaa masih terpinga-pinga dengan cadangan Qhayrul itu. “Tapi...”
“Tolong dengar cakap saya ni, Cik Yusra. Ini aje caranya. Sampai bila awak nak mengelak?”
Setelah eksperi muka Yusra Dahliyaa seakan-akan setuju dengan cadangan Qhayrul, lelaki itu memandang Hamidah. Fadhil pula sudah berada berhampiran dengan pagar rumah. Dia menguak pagar tersebut lalu menuju ke kereta Proton Perdana berwarna hitam itu.
“Mak cik, mana ubat pak cik?”
“Ubat pak cik?”
“Cepat, mak cik. Pak cik ada sakit sesak nafas, kan? Mana inhaler dia?” Tangan Qhayrul sudah menadah. Dia harus segera bertindak.
“Macam mana kamu tahu pak cik ada sesak nafas?”
“Mak cik, sekarang tak ada masa nak terangkan. Yang penting ubat pak cik. Saya nak kejar pak cik sebelum ada apa-apa jadi kat dia. Cepat, mak cik,” arah Qhayrul bertambah panik kerana kedengaran enjin kereta dihidupkan.
Hamidah bingkas bangun dan menuju ke kabinet televisyen. Laci paling atas dibuka dan objek seakan-akan botol penyedut kecil berwarna biru diambil oleh Hamidah. Hamidah berlari menuju ke pintu dan ubat tersebut sudah berada di tangan Qhayrul.
Qhayrul sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kereta itu sudah pun keluar dari kawasan rumah. Baru sahaja kereta itu bergerak, namun tidak semena-mena ia berhenti. Qhayrul berlari sekuat hati ke tempat duduk sebelah pemandu. Tanpa ada rasa ragu, dia membuka pintu dan masuk ke dalam. Kelihatan Fadhil sedang tertunduk, matanya terpejam.
“Pak cik... pak cik...”
Fadhil menoleh. Ketara benar dada lelaki tua itu berombak turun naik.
“Pak cik, ni ubat pak cik.” Qhayrul terus menyentuh tangan kiri Fadhil dan meletakkan inhaler tersebut ke tapak tangan Fadhil.
Tanpa membantah, Fadhil mengambil ubat tersebut dan menggoncang kemudian diletakkan di antara dua bibirnya. Dia menekan sebanyak dua kali. Selepas itu Fadhil menahan botol tersebut supaya tidak terlepas dari mulutnya. Lebih kurang dalam lima saat kemudian, barulah Fadhil melepaskan inhaler tersebut. Fadhil cuba bernafas tenang dan ternyata ubat itu berkesan.
Fadhil memandang lama Qhayrul yang berada di kirinya. Wajah tersebut pernuh dengan tanda tanya.
Qhayrul dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran lelaki tua itu. “Pak cik nak tanya macam mana saya tahu pak cik ada sesak nafas?”
Fadhil tergamam. Dia sengaja tidak bersuara memandangkan sakitnya masih lagi belum pulih. Apa yang Fadhil mampu lakukan ialah terus menatap raut muka pemuda itu. Setelah puas dia dalam keadaan begitu, otaknya mula mengimbas susuk tubuh yang pernah dia temui tidak lama dahulu. “Kamu... Qhayrul?”