Stylo Clique ^_^

Saturday, December 6, 2014

You Are My Mr.Right - Bab 3


BAB 3

"Astaghfirullah al-azim,” ucap Mizza Ilyana, beristighfar sambil tapak tangannya ditekapkan ke dada. Terkejut mendengar cerita kawan baiknya itu.
“Aku bersyukur sangat tak ada benda buruk jadi kat aku. Takut juga kalau lelaki tu ada senjata. Katakanlah peragut tu ada pisau...
“Isy, kau ni, janganlah cakap macam tu, Yusra. Aku membayangkan kejadian tu pun dah cukup ngeri dan seram.”
“Aku cuma ingat Rafi aje masa kejadian tu. Mizza, bukan senang aku nak cari duit. Memang orang cakap kita kena pentingkan keselamatan, tapi duit yang ada pada aku ni ajelah duit untuk aku besarkan Rafi. Kalau aku tak pertahankan, macam mana dengan Rafi? Aku tak kisah apa yang jadi kat diri aku, tapi aku tak nak kehidupan anak aku terjejas,” ujar Yusra Dahliyaa sambil memandang Rafi Huzaifa yang sedang seronok bermain di ruang permainan di dalam restoran makanan segera itu.
Pandangan Mizza Ilyana tepat ke arah wajah ibu tunggal itu. Pandangan gadis tersebut disulami dengan rasa sayu dan simpati. Jari-jemarinya menggenggam tangan Yusra Dahliyaa.
“Yusra, janganlah macam ni. Keselamatan kau tu pun penting. Kalau jadi apa-apa kat kau, macam mana dengan Rafi? Rafi dengan kau saling memerlukan. Alhamdulillah, kau tak ada apa-apa. Nasib baik kau ada belajar tae kwan do dulu. Berguna juga untuk masa kecemasan macam petang semalam tu.”
“Aku boleh bertahan sampai sekarang sebab Rafi dengan kau. Aku rasa aku tak mampu nak hadapi semua dugaan ni kalau kau dengan Rafi tak ada kat sisi aku.”
Mizza Ilyana mengukir senyuman. Genggamannya semakin erat. Dia cuba menyalurkan semangat ke tubuh Yusra Dahliyaa.
“Kau kawan baik aku. Kita dah lalui macam-macam sejak zaman universiti lagi. Aku kenal kau dengan arwah Ra’if dah lama. Kau jangan risau ya. Biar apa pun yang terjadi, aku tetap ada untuk kau.”
“Terima kasih, Mizza. Aku minta maaf sebab dah banyak menyusahkan kau selama ni.” Yusra Dahliyaa membalas erat tangan Mizza Ilyana.
“Kau langsung tak menyusahkan aku. Kau lagilah banyak tolong aku. Kau lupa ke dulu masa aku demam panas, siapa yang susah payah jaga aku kalau bukan kau? Balik aje daripada kuliah, kau tuam kepala aku ni dengan air batu. Siap belikan aku bubur, sup ayam. Lepas tu kau siap berjaga malam lagi masa aku muntah-muntah. Aku ingat sampai hari ni tau.” Mizza Ilyana meleraikan tangan mereka lalu menggapai cawan kertas yang terletak di atas meja. Air berkarbonat berbaki separuh dihirup. Kentang goreng yang sudah sejuk dikunyah laju.
“Tak seberapalah apa yang aku buat dulu dengan apa yang kau buat pada aku sekarang.”
“Sama ajelah. Dahlah, jangan difikirkan sangat. Sekarang ni betul ke kau tak nak buat laporan polis? Kau cam tak muka peragut tu? Kalau aku ada kat tempat kau, memang aku tak akan lepaskan budak tu. Biar aje peragut tu kena langgar dengan kereta.”
“Tak apalah. Kali ni biarlah dia terlepas. Harap-harap dia dah insaf. Entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku boleh selamatkan dia. Mungkin sebab kejadian petang semalam tu hampir sama dengan kejadian enam tahun lepas. Mungkin sebab aku tak mampu nak hadapi situasi macam tu lagi, aku selamatkan lelaki tu.” Riak muka Yusra Dahliyaa tidak seperti tadi. Otaknya sekali lagi memutarkan kembali peristiwa petang semalam dan enam tahun yang lalu. Yusra Dahliyaa menundukkan kepala.
“Kau janganlah sedih macam ni. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah yang Allah nak kasi. Kau adalah orang yang tabah dan kuat yang pernah aku kenal.”
“Insya-Allah, Mizza.”
“Habis tu, macam mana dengan sewa rumah kau bulan ni?”
“Aku pun tak tahu. Kau kan tahu tiap-tiap bulan aku bayar 650 kat lintah darat tu. Hari tu pun cikgu Rafi dah minta duit yuran bulanan. Nak tak nak aku kena bayar juga walaupun sikit,” luahYusra Dahliyaa.
“Kau cakap pasal arwah Ra’if dengan si lintah darat tu, sampai sekarang aku tak percaya yang Ra’if boleh pinjam duit dengan along tu.”
“Hidup kita orang dulu lepas kahwin susah, Mizza. Aku tahu niat dia nak sara aku. Susah payah dia cari duit siang malam nak menampung kehidupan kami masa tu. Dengan susah nak cari kerja sebab tak habiskan pengajian, apa yang Ra’if mampu cuma kerja biasa-biasa aje. Bila kawan dia ajak berniaga, dia pun cari modal. Nak cepat dapat duit, tu yang dia pinjam dengan along tanpa pengetahuan aku. Tapi, tak sangka pula kawan sanggup makan kawan,” terang Yusra Dahliyaa walaupun rakannya itu sudah mengetahui kisah tersebut.
Mizza Ilyana mengambil dompet yang berada di dalam beg tangannya. Dia mengeluarkan lima keping wang kertas bernilai RM50 lalu diletakkan di atas meja. Setelah itu dia memasukkan semula dompetnya ke dalam beg.
Yusra Dahliyaa yang melihat tingkah laku gadis itu seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku sebentar lagi. “Mizza, kenapa kau...”
Tidak sempat Yusraa Dahliyaa menamatkan bicara, tangan Mizza Ilyana sudah terlebih dahulu bergerak. Kepingan kertas mempunyai nilai itu diseret oleh Mizza Ilyana ke arah Yusra Dahliyaa yang berada bertentangan dengannya. “Yusra, ini aje yang aku boleh tolong kau. Duit ni kau bayar sewa rumah kau bulan ni.”
“Mizza, apa ni? Hutang kau yang lepas pun aku tak boleh nak bayar lagi. Tak payahlah.” Yusra Dahliyaa segan unuk menerima wang tersebut. Hatinya sudah dirundung perasaan bersalah. Sudah banyak kali Mizza Ilyana membantunya dari segi kewangan.
“Tak apa, kau ambil aje. Wak Osman tu kan mana boleh lambat bayar. Bulan lepas punya sewa pun kau tak bayar lagi, kan? Nasib baiklah orang tua tu tiba-tiba baik hati kasi tangguh dulu. Kalau bulan ni kau tak bayar, mahunya Wak Osman tu halau kau. Bila dah kena halau, kau nak duduk mana? Yuran bulanan tadika Rafi dengan day care aje dah 350. Dengan duit perbelanjaan harian kau pergi kerja, bil lagi, duit makan kau anak-beranak, mana cukup dengan baki yang kau ada tu. Lagipun Rafi dah macam anak aku juga. Tunggu kau kahwin dengan anak orang kaya, baru kau bayar duit aku yang lepas-lepas tu. Bukan kau yang minta, aku yang nak kasi ni,” bebel Mizza Ilyana dengan panjang lebar.
Bibir itu tersenyum. Jauh di sudut hati Yusra Dahliyaa sememangnya dia amat memerlukan duit tersebut. “Mizza, aku tak tahu...”
“Sudah, tak payah nak Mizza, Mizza sangat. Aku tahu kau nak cakap apa. Kau tak payah nak hutang budi sangat dengan aku. Apa yang aku mampu, aku akan tolong. Setakat ni belum luak apa-apa lagi dalam hidup aku ni bila tolong kau. Allah tambah rezeki ada. Tak payah nak buat drama ya.”
“Terima kasih, Mizza.”
“Sama-sama. Dah, makan ayam goreng kau tu. Kalau kau tak nak, aku ambil,” gurau Mizza Ilyana.
Yusra Dahliyaa tertawa. Pandangannya kembali semula ke arah Rafi Huzaifa. Anak lelakinya itu sedang menurui gelongsor.
“Rafi, sini makan. Sudah-sudahlah tu main,” panggil Yusra Dahliyaa.
“Kejap, ibu, Rafi nak main lagi ni,” balas Rafi Huzaifa lalu menaiki tangga permainan yang ada.
Kepala Yusra Dahliyaa menggeleng laju.
“Budak-budak memang macam tu. Anak saudara aku pun sama perangai. Selagi tak dipaksa, mana nak makan. Ingat main aje tak sudah-sudah. Tak apa, biar aku pujuk dia. Kau makanlah. Aku tengok kau ni pun makin kurus. Jaga makan minum kau,” pesan Mizza Ilyana lalu bangun. Dia melangkah menuju ke arah Rafi Huzaifa.
Yusra Dahliyaa membisu. Dia memerhatikan sahaja pergerakan rakannya itu.

-------------------------

Bau haruman nasi goreng kampung menyengat ke hidung Qhayrul. Beg plastik berwarna merah yang mengandungi polisterina berisi makanan tersebut dijinjing kemas sebaik sahaja dia melangkah keluar dari restoran itu. Plastik yang mengandungi air teh ais dihalakan ke mukanya. Straw yang terjulur keluar disedut. Terasa enak air itu melalui deria rasa lalu menuruni tekak. Qhayrul berulang kali melakukan perbuatan itu untuk menghilangkan rasa dahaga.
“Wah, tauke, banyak syok minum itu air,” tegur suara itu tiba-tiba sebaik sahaja Qhayrul tiba di tempat letak motosikalnya.
“Tauke macam ada wang aje. Kasi belanja kita dua oranglah tauke,” ucap lelaki yang seorang lagi.
Qhayrul menoleh. Melalui lampu jalan yang menerangi waktu malam, Qhayrul dapat melihat dengan jelas wajah mereka berdua. “Alex, Richard...”
Qhayrul terkejut dan kaku di situ. Plastik air yang berada di tangan terlepas. Terketar-ketar bibir Qhayrul menyebut nama mereka. Jika ditoreh wajahnya, pasti tiada darah yang mengalir. Sisa baki air yang berada di mulut ditelan pahit.
“Qhayrul, lu nampak hantu ke?” perli Alex dengan pelat Cinanya.
“Alex, takkanlah lu nak buat kecoh dekat sini? Sini ramai orang ma.”
“Eh, ada ke gua cakap nak buat kecoh?”
Richard yang berada di sisi Alex melangkah perlahan menghampiri Qhayrul yang sudah menggelabah itu.
“Qhayrul, gua banyak lapar sekarang. Tengok muka lu, perut gua lapar. Boleh gua tengok apa yang lu beli tak?” soal Richard lalu tangannya merampas plastik yang digenggam oleh Qhayrul.
Lelaki itu membiarkan sahaja. Tangannya sudah mulai sejuk.
Tanpa rasa bersalah, Richard mengambil sudu dan menyuap nasi goreng tersebut ke dalam mulutnya tatkala bungkusan polisterina itu dibuka.
“Richard, itu nasi tauke yang punya. Apa pasal lu yang makan?” tanya Alex dengan nada sinis.
“Alex, ini tauke ada wang. Dia belanja gua makan. Ada wang beli ini nasi, takkan tak ada wang mahu bayar hutang along. Betul tak Qhayrul?” sindir Richard pula, tangannya sudah menepuk-nepuk bahu Qhayrul.
“Richard, Alex, hutang gua dengan along, gua ingat nak minta tangguh.”
“Apa? Tangguh ah? Masa lu pinjam dengan along, along kasi itu wang ada tangguh-tangguh ke?”
“Alex, ini benda boleh bincang.”
“Bincang? Boleh, gua tak kisah punya. Tapi, bincang kat tempat terang tak syok. Gua tak suka tempat terang. Banyak gangguan. No privacy. Kita bincang tempat gelap sikit. Private and confidential. Baru eksklusif ma. Wa nak kasi hadiah sama lu pun senang.”
Dahi Qhayrul sudah berpeluh. Dia seperti dapat mengagak apa yang akan berlaku sebentar lagi.
“Qhayrul, ini nasi gua sudah makan separuh. Lagi separuh lu makan. Baru orang cakap best friend forever. Jom, kita pergi belakang. Kasi bincang macam yang lu nak.”
Richard menutup kembali polisterina itu lalu memasukkan objek tersebut ke dalam plastik. Plastik berwarna merah itu diletakkan ke dalam bakul motosikal Yamaha 125Z milik Qhayrul. Kedua-dua orang kanan along itu memaut lengan Qhayrul. Alex dan Richard membawa Qhayrul ke lorong belakang kedai. Sebaik sahaja tiba di kawasan tersebut, Alex dan Richard menolak tubuh lelaki itu ke timbunan sampah. Qhayrul jatuh tersembam.
“Ha, sekarang apa mahu bincang? Cepat cakap,” arah Alex.
Richard menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan. Lelaki Cina itu juga mematahkan sendi jari-jemari dan tangannya. Bunyi letupan pada sendi akibat daripada perbuatan itu didengar oleh Qhayrul. Richard sudah siap bersedia untuk memberikan hadiah istimewa kepada Qhayrul jika mendapat isyarat daripada Alex.
Qhayrul cuba bangun. Bau sampah sudah melekat pada bajunya. Sedaya upaya dia cuba bertentang mata dengan Alex dan Richard. “Tolonglah, Alex. Gua memang tak ada wang. Gua tak boleh bayar hutang along sekarang.”
“Gua memang tak kisah. Tapi, bila gua jumpa along nanti, wa nak cakap macam tu ke sama dia? Lu tahu kan along tu macam mana punya orang? Kalau dia nak, itu maksud dia memang nak itu wang. Tak boleh kata tak boleh bayar.”
“Tolonglah, Alex. Gua merayu sama lu. Kasi gua masa. Kurang-kurang satu minggu. Gua kena cari wang dulu,” pinta Qhayrul sambil melutut lalu memegang kaki kanan Alex.
“Helo, tauke, hutang lu dengan along sudah boleh buat itu down payment kereta tau. Silap-silap down payment rumah pun boleh. Itu baru hutang, belum itu bunga lagi. Lu ingat along nak kasi lepas macam tu ke?” balas Alex dalam masa yang sama tangannya menunjal dahi Qhayrul.
Ketika itu Qhayrul merasakan maruahnya seperti dipijak-pijak. Egonya sebagai seorang lelaki sudah dilontar jauh sama seperti dengan dirinya yang dicampak tadi.
“Itulah, lain kali kalau tak boleh telan, lu jangan makan. Kalau lu makan, lu kena telan ma. Gua ingat wa boleh kasi lu tempoh seminggu. Gua kasi kautim sama lu.”
Qhayrul mendongak memandang wajah Alex. Tidak menyangka si lintah darat itu akan berkata sedemikian. “Betul ke, Alex?”
“Betul. Gua tak tipu punya orang. Gua tak macam lu. Selalu tipu, ‘kencing’ sama along. Tadi pun lu sudah belanja Richard makan itu nasi, kan? Lu dengan Richard sudah jadi best friend forever. Tauke, lu jangan ini macamlah. Jangan tunduk sama gua. Lu bangun,” suruh Alex.
Seperti orang suruhan yang mengikut arahan tuannya, Qhayrul bingkas berdiri. Richard dan Alex saling berpandangan. Richard faham benar dengan gerak badan dan bahasa tubuh rakannya itu. Mereka berdua adalah orang kepercayaan along. Sejak zaman remaja lagi mereka sudah bekerja di bawah arahan kepala lintah darat tersebut.
“Betul apa Alex cakap tu, Qhayrul. Lu sudah kasi gua makan tadi. Mestilah kita mahu balas lu punya budi. Kita orang kasi lu tempoh satu minggu bayar itu wang.”
“Terima kasih, Richard, Alex. Gua akan cari itu wang. Gua janji.”
“Tak payah janjilah, tauke. Bukan hari-hari kita orang baik macam ni tau. Itu nasi lu belanja memang sedap. Perut gua macam sudah kenyang, tapi hati gua yang tak kenyang. Tangan gua pun rasa ringan aje. Gua ingat mahu kasi lu hadiah la, tauke. Baru hati gua ni ada syok sikit.”
“Hadiah?”
Alex sudah tersenyum. Dia mengangguk.
Richard faham dengan maksud pergerakan tersebut. Richard menarik bahagian dada baju Qhayrul. Dia menghentakkan tubuh Qhayrul ke dinding. Satu tumbukan hinggap ke pipi Qhayrul. Bahagian rahang pipi lelaki itu terasa bisa. Qhayrul mengerang kesakitan.
Alex mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakan rokok tersebut. Dia bersandar di dinding bertentangan dengan Richard dan Qhayrul. Dia menyedut dalam-dalam rokok tersebut. Kemudian, asap berkepul-kepul keluar dari hidung dan mulutnya. Sekali lagi bibir itu melengkung ke atas. Terasa puas melihat Richard memberikan tumbukan dan tendangan berulang kali kepada lelaki tersebut.


Tuesday, December 2, 2014

You Are My Mr.Right - Bab 2



BAB 2

Kertas kecil bersaiz segi empat tepat yang keluar dari mesin ATM itu diambil lesu. Matanya memerhatikan amaun yang tertera pada permukaan putih itu. Baki akaun simpanannya sebanyak RM20. Memang itulah jumlah yang akan ditinggalkan oleh Yusra Dahliyaa tiap-tiap bulan tatkala mengeluarkan wang gajinya. Komitmen dan tanggungjawab yang digalas pada bahunya menghalang Yusra Dahliyaa untuk menyimpan.

Pintu kaca bank tersebut dikuak ke bahagian luar. Yusra Dahliyaa melangkah sebaik sahaja memasukkan dompet bersaiz memanjang ke dalam beg tangan. Sudah menjadi rutin setiap bulan Yusra Dahliyaa akan ke suatu tempat. Tak kira apa jua yang terjadi dalam hidupnya, Yusra Dahliyaa pasti akan ke tempat itu. Rela atau paksa, Yusra Dahliyaa perlu membahagikan hampir separuh gajinya kepada seseorang. Enam tahun dia mengalami kehidupan begitu, enam tahun jugalah dia mengharungi segala keperitan itu sendiri.

Ibu tunggal berusia 26 tahun itu melangkah menuju ke perhentian bas. Kesibukan kenderaan yang lalu-lalang di situ langsung tidak dihiraukan. Fikirannya sudah mencongak perbelanjaan pada bulan tersebut. Jika dicongak, bayaran rumah sewa untuk bulan itu tidak mampu dibayar oleh Yusra Dahliyaa.

“Ya Allah, mana aku nak cari duit nak bayar sewa rumah ni? Dahlah Wak Osman tu berkira, kedekut pula tu.” ucap Yusra Dahliyaa terhadap dirinya sendiri.
Setelah berjalan beberapa minit, akhirnya dia sampai di perhentian bas. Kelihatan tiga orang sedang menanti untuk menaiki pengangkutan awam itu. Yusra Dahliyaa mengambil tempat di bahagian hujung belah kiri. Lilitan selendeng warna biru langit yang menutupi bahagian kepala diperkemas kerana ditiup angin sebentar tadi. Selendang itu dikenakan bersama dengan kemeja labuh biru gelap paras punggung dan seluar berwarna putih. Hari itu dia bekerja separuh hari sahaja kerana setiap hujung bulan dia perlu menyelesaikan apa yang telah dijanjikan.

-----------------------------

Lelaki Cina berbadan sasa dan gempal itu tersenyum. Melihat garis wajah dan warna putih uban yang hampir memenuhi kepala lelaki tersebut, Yusra Dahliyaa menjangkakan umurnya melebihi setengah abad. Lelaki itu mengangguk berulang kali sambil mengira wang kertas yang berada di tangannya. Not bernilai RM50 itu terdapat 13 keping. Sebaik sahaja selesai menghitung, dia menandakan sesuatu pada buku yang berada di atas meja.

“Ha... ini macamlah, amoi. Tiap hujung bulan mesti lu bayar. Gua sangat suka sama dengan lu, amoi. Kalau ini macam lu bayar, tak payah 50 ribu, 500 ribu pun gua boleh kasi pinjam sama lu.”
“Tak apalah, along. Saya tak mahu pinjam apa-apa pun. Saya cuma nak bayar apa yang suami saya pinjam.”
"Haiya, amoi... Tak mahu pinjam lagi ke? Gua tengok muka lu pun gua tahu lu susah punya orang. Kalau amoi mahu pinjam, mei wenti (tak ada masalah), gua kasi itu bunga kecil sikit.”

Yusra Dahliyaa cuba memaniskan wajah walaupun hatinya perit kerana terpaksa menyerahkan sebahagian wang hasil titik peluhnya selama sebulan kepada lintah darat itu. 

“Saya memang tak mahu pinjam, along. Apa yang ada sekarang ni pun lama lagi mahu habis. Takkan saya mahu tambah lagi hutang.”
“Amoi, jangan itu macam. Gua tak akan suruh gua punya budak kasi pukul sama lu. Lu perempuan ma. Kalau bayar bagus gua tak akan cari pasal punya. Semua bulan lu bayar banyak cun,” ucap lelaki Cina itu, cuba menabur janji manis.

Yusra Dahliyaa yang dari tadi duduk bingkas bangun. Dia tidak mahu berada di tempat tersebut untuk waktu yang lama. Tidak selesa kerana dikelilingi dengan orang yang berbadan besar dan berwajah bengis.

“Tak apalah, along. Saya ingat saya nak balik dulu. Saya ada hal lain ni,” ujar Yusra Dahliyaa sambil pandangannya tepat melihat lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki yang kelihatan seperti ketua antara mereka itu menghisap rokok yang berbaki separuh diapit di antara jari telunjuk dan tengahnya. Bergumpal asap keluar daripada hidung dan mulut.
“Sudah mahu balik ke? Tak apa, gua suruh gua punya budak hantar amoi. Sekarang cuaca kat luar banyak panas. Kasihan sama lu kena jalan kaki. Alex, Richard, lu orang hantar ini amoi pergi mana yang dia mahu pergi.”
“Along, tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Lepas ni saya mahu jumpa kawan,” tipu Yusra Dahliya. Nak suruh penyangak berdua ni hantar balik? Memang taklah jawapannya. Entah ke mana-mana yang diperginya nanti.
“Ooo... itu macam ke? Okeylah, bulan depan kita jumpa lagi.”

Yusra Dahliyaa hanya mengangguk dan tersenyum hambar. Kakinya laju melangkah lalu menuruni tangga rumah kedai dua tingkat itu. Lega rasanya kerana dapat keluar dari tempat tersebut. Memang begitulah ayat yang biasa dikeluarkan oleh lintah darat yang diberi gelaran along setiap kali mereka berjumpa. Tidak sudah-sudah meminta Yusra Dahliyaa meminjam wang daripadanya. Mati hidup semula sekalipun Yusra Dahliyaa tidak akan melakukan perkara itu.

--------------------------------

Laluan di koridor kedai dua tingkat kelihatan agak lengang pada petang itu. Motosikal milik Qhayrul dan Belut berada di laluan kaki lima kedai, menyebabkan orang yang lalu-lalang di situ terpaksa beralah dengan kenderaan mereka berdua.

Belut menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan kotak rokok yang baru sahaja dibelinya tadi. Dia mengambil sebatang rokok dan bibirnya mengemam rokok tersebut. Belut menyalakan pemetik api lantas dihalakan ke hujung rokok. Belut menghulurkan kotak rokok kepada Qhayrul. Laju sahaja tangan Qhayrul menolak.

“Kau kan tahu aku tak hisap rokok. Aku tak naklah. Pencemaran udara,” ucap Qhayrul.

Belut tertawa sinis apabila mendengar alasan Qhayrul.

“Pencemaran udara? Kau ni, Qhayrul, benda ni pun tak hisap. Bukannya aku suruh hisap dadah ke, bau gam ke,” omel Belut.
“Aku tak hisap rokok, mak aku marah. Mak aku sakit pun sebab banyak sangat bau asap rokok daripada laki dia,” tambah lelaki itu lagi.
“Mak kau kan dah lama meninggal? Kau ni anak mak betullah.”
“Memanglah aku anak mak, walaupun mak yang bela aku dulu tu mak angkat aku aje. Habis tu, kau tu datang dari mana? Dari langit? Bukannya daripada mak kau?” perli Qhayrul.

Belut membetulkan kedudukan punggungnya yang berada di atas tempat duduk motosikal. Terasa sentap pula mendengar sindiran rakannya itu.

“Amboi, main kasar nampak. Aku gurau aje. Ni marah tak sudah sebab malam hari tu kalah dengan Todak ke?” teka Belut.
“Alamak, makan dalamlah dengar ayat yang keluar dari mulut kau hari ni. Semuanya macam bau longkang. Sakit telinga dengan hidung aku ni. Pasal Todaklah aku jadi serabut. Apasal dia boleh menang malam tu? Main tipu ke budak ikan tu? Hangus terus duit aku.”
“Dah nasib Todak nak menang malam tu. Nak buat macam mana.”
“Hangus tu satu hal. Bulan ni dah sesak macam nak lemas rasanya. Aku nak bayar hutang apek along judi tu lagi.”
“Tulah, kau ikutkan hati sangat main judi dengan along tu siapa suruh?”
“Manalah aku tahu. Mula-mula menang. Tak tahu pula makin lama makin tak ada ong. Tu hutang dulu tak selesai lagi. Masak aku bulan ni. Kalau aku tak main judi dengan apek along tu, macam mana aku nak beranakkan duit aku? Dahlah aku tak kerja lagi ni.”
“Tak payah nak serabut sangat. Aku tak kerja ni pun boleh hidup. Cuma kena cari mangsa, masa dengan tempat yang betul,” ujar Belut.

Qhayrul hanya memandang wajah Belut tatkala rakannya itu berkata sedemikian. Tahu sangat Qhayrul apa yang bermain di fikiran Belut. Qhayrul memerhatikan persekitaran, memerhatikan gelagat orang yang berada di situ. Sekali-sekala mulutnya menguap. Masa yang berlalu bagaikan tiada ertinya untuk mereka berdua.
Ketika itu ada seorang perempuan baru sahaja melalui kawasan mereka. Pandangan Qhayrul dan wanita itu sempat bertaut. Perempuan itu beralih penglihatan tatkala perasan Qhayrul sedang memerhatikan dirinya.
Yusra Dahliyaa cukup tidak berkenan dengan lelaki memiliki penampilan seperti Qhayrul. Dengan rambut pendek tapi berekor, tambahan lagi duduk lepak membuang masa membuatkan rasa jengkel timbul di sudut hati Yusra Dahliyaa. Langsung tidak mempunyai ciri-ciri untuk memimpin.

“Qhayrul, kau pun tengok minah tu juga ke?” tanya Belut setelah melihat mata Qhayrul tidak berkerdip memerhatikan Yusra Dahliyaa.
“Maksud kau?”
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?”

Qhayrul melihat Yusra Dahliyaa dari belakang. Dari atas hinggalah ke bawah. Deria melihat Qhayrul terhenti pada bahu Yusra Dahliyaa. Lantas lelaki itu memandang Belut. Bibir Qhayrul sudah tersenyum simpul.

“Ni namanya tuah ayam nampak di kaki, tuah kita nampak kat beg tangan perempuan tu. Apa tunggu lagi? Mangsa dah ada, masa pun dah cantik, tempat ni pun line clear. Tengah tak ada orang sangat ni. Aku tunggu kau kat depan. Motor kau malam sikit baru kita ambil. Amacam? Okey?” cadang Belut.

Qhayrul membalas dengan menunjukkan tanda ibu jari. “Memang patut nama kau Belut. Dasar otak belit dan licik.”
Belut menyengih lalu menghidupkan enjin motosikalnya.

--------------------------------

Langkah kaki Yusra Dahliyaa menjadi tidak tentu arah. Pandangannya juga silih berganti. Sekejap dia pandang ke hadapan, sekejap dia memandang ke belakang. Deria keenamnya seperti membisikkan sesuatu yang buruk akan berlaku. Yusra Dahliyaa merasakan ada seseorang sedang mengekorinya. Sekali lagi kakinya berhenti daripada menapak. Dia menoleh, tetapi sekelumit kelibat tidak pun kelihatan. Yusra Dahliyaa cuba membuang perasaan itu jauh. Dia menarik nafas lalu menghembus perlahan. Sedaya upaya dia menenangkan dirinya sendiri.

“Yusra, insya-Allah, tak ada apa-apa yang berlaku. Ni semua perasaan kau sendiri aje,” ucap Yusra Dahliyaa terhadap dirinya sendiri.

Sebelum berpaling semula ke hadapan, mata Yusra Dahliyaa melilau sekeliling. Setelah pasti tiada apa yang mencurigakan, dia meneruskan semula perjalanannya. Beg tangan yang digantung pada bahu kanan dikepit kuat.

Tanpa wanita itu sedari, ada sepasang mata yang memandangnya di sebalik tiang konkrit yang ada. Qhayrul hanya menantikan masa yang sesuai. Sudah lebih satu minit Qhayrul mengekori Yusra Dahliyaa dan kali ini sudah tiba detik yang dia harus bertindak. Tanpa berlengah, Qhayrul mempercepat langkahnya. Seboleh mungkin Qhayrul tidak mahu kehadirannya dirasai oleh perempuan tersebut. Kekuatan yang tersimpan dalam diri disalurkan ke tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya.

Sebaik sahaja tangan kiri Qhayrul berjaya menggapai beg tangan berwarna hitam tersebut, Qhayrul cuba merentap dan merampas objek itu daripada Yusra Dahliyaa. Alangkah terkejutnya Yusra Dahliyaa ketika itu. Ternyata perasaan curiganya tadi adalah benar. Jantung Yusra Dahliyaa berdegup kencang dan laju seperti mahu terkeluar daripada badan.

“Ya Allah, peragut!” jerit Yusra Dahliyaa. Beg tangan Yusra Dahliyaa separuh berada di tangan Qhayrul manakala yang bahagian tali digenggam kuat oleh perempuan itu.
Qhayrul berusaha menarik beg tersebut, menyebabkan tubuh Yusra Dahliyaa yang kecil turut terdorong sekali. Tadinya kedudukan mereka di kaki lima kedai, kini di atas jalan raya, kawasan tempat letak kenderaan berhadapan kedai.
“Lepaskan beg ni. Lepaskan kalau kau nak selamat!” ugut Qhayrul sudah mula menggelabah melihat tindak balas Yusra Dahliyaa. Jika dibiarkan, bimbang orang yang berada di kawasan sekitar akan menyerangnya.

Wajah Yusra Dahliyaa sudah berubah. Dia tidak mahu berdiam diri setelah menerima ugutan daripada lelaki yang berada di hadapannya itu. Dengan ilmu asas seni mempertahankan diri tae kwan do yang dipelajari semasa zaman universiti dahulu, tangan Yusra Dahliyaa menarik beg tangannya lalu tubuh Qhayrul ke hadapan dan menghampiri Yusra Dahliyaa.

Qhayrul membulatkan mata. Jauh daripada jangkaannya akan jadi begini. Wanita itu melepaskan begnya dan tangan Yusra Dahliyaa dapat mencapai pergelangan Qhayrul. Yusra Dahliyaa menggenggam kuat pada kawasan itu lalu dia melipat tangan lelaki itu dan menyebabkan genggaman Qhayrul terlepas. Beg tangan Yusra Dahliyaa yang ada pada Qhayrul jatuh di atas jalan raya. Tidak cukup dengan itu, kaki kanan Yusra Dahliyaa menendang celah kelengkang Qhayrul. Dia mengerang kesakitan.

Qhayrul membongkokkan badannya, cuba menahan sakit yang ditanggung. Agak lama dia begitu. Sakit lebih bertimpa terasa di bahagian sensitif itu. Ego dan maruahnya sebagai lelaki tercalar. Tidak mungkin dia boleh kalah dengan seorang perempuan. Tanpa berfikir panjang, dia berdiri semula. Serangan tumbukan dengan arah lurus melalui tangan kanan dihalakan ke arah badan Yusra Dahliyaa.

Yusra Dahliyaa sempat menangkis dan menangkap sambil tangan kanan Yusra Dahliyaa laju meraih leher lawannya itu. Dia memutarkan badan ke belakang sebanyak 180 darjah. Dalam masa yang sama Yusra Dahliyaa menarik tangan Qhayrul dan cengkaman pada leher ditekan ke bawah untuk menambah kekuatan menjatuhkan lelaki tersebut. Kesan daripada tindakan Yusra Dahliyaa telah menyebabkan peragut yang meragut beg tangannya tadi jatuh terlentang di atas jalan raya.

“Aku susah payah cari duit, kau senang-senang nak curi duit aku?! Tuhan bagi badan sihat macam ni, pergilah cari kerja. Lelaki pula tu. Kalau kau dah kahwin, tak akan nak bagi anak bini kau hasil duit macam ni?!” marah Yusra Dahliyaa.

Qhayrul tidak membalas. Dahi Qhayrul berkerut, matanya terpejam. Belum lagi lenyap rasa sakit di bahagian kelengkang, sekarang seluruh badan tidak semena-mena terasa sakit dan sengal. Air liur yang ditelan juga tiba-tiba menjadi perit. Perasaan menyesal menyelubungi hati kerana mengikut cadangan Belut. Ternyata mereka tersilap memilih mangsa.

“Kalau ikutkan hati, memang aku nak bawa kau pergi balai polis sekarang ni.”
Mendengar sahaja perkataan balai polis, Qhayrul membuka mata. Dia menggagahkan diri untuk berdiri. Dia perlu melarikan diri. Yusra Dahliyaa hanya memerhati dan menanti tindak-tanduk Qhayrul seterusnya. Yusra Dahliyaa sedikit pun tidak gentar dengan Qhayrul.

Dengan kekuatan yang ada, kaki Qhayrul melangkah laju mahu meninggalkan Yusra Dahliyaa. Tanpa menoleh kiri dan kanan, Qhayrul melintas jalan. Ketika itu, ada sebuah kenderaan sedang menuju ke arahnya. Yusra Dahliyaa yang mengetahui situasi tersebut spontan menarik lengan Qhayrul. Badan Qhayrul ke belakang, kemudian berpaling dan terus menghadap wajah Yusra Dahliyaa. Penglihatan mereka bertaut sekali lagi.
Kedengaran bunyi hon kereta berpanjangan. Kenderaan pacuan empat roda itu berhenti serta-merta. Pemilik kereta tersebut menurunkan cermin tingkap. Ekspresi si pemandu jelas marah.

“Lain kali kalau nak bergaduh laki bini, kat dalam rumah. Jangan nak gaduh kat tengah jalan macam ni. Kalau dah kena langgar tadi macam mana?!” laung lelaki berbadan gempal itu sambil menyembulkan biji mata.
“Abang, minta maaf. Sebenarnya dia ni...” Belum sempat Yusra Dahliyaa menyudahkan kata-katanya, lelaki tersebut terus mencelah.
“Ah! Aku tak nak dengar apa masalah kau orang berdua. Aku peduli apa! Sekarang ni nasib baik aku sempat tekan brek. Kalau aku tak perasan tadi, mahunya berdarah kat atas jalan raya ni. Ada otak tu, fikirlah!”
“Minta maaf, abang. Minta maaf sebab nyaris libatkan abang,” ucap Yusra Dahliyaa dengan rasa bersalah.

Yusra Dahliyaa mengungkapkan perkataan tersebut berkali-kali. Tak pasal-pasal aku kena minta maaf pula. Si pencuri ni dah jadi bisu ke? Patutnya minta maaf sekali. Lagipun aku tak salah apa-apa pun, bentak Yusra Dahliyaa dalam hati.

Wajah Qhayrul pucat. Peluh sudah memenuhi dahi. Jika dilihat dari bahagian sisi, jelas dada lelaki tersebut berombak. Qhayrul langsung tidak dapat menggerakkan kepalanya melainkan matanya melihat raut Yusra Dahliyaa. Perbuatan Yusra Dahliyaa sebentar tadi seakan-akan suis masa. Qhayrul merasakan dunia di sekelilingi tidak berputar. Hanya dia dan Yusra Dahliyaa sahaja wujud di situ.

“Nasib baik tak langgar orang. Hidup tu janganlah nak menyusahkan orang. Dah nama jalan raya, nak melintas tengoklah kiri kanan,” bebel lelaki itu lagi sambil kaki menekan pedal minyak lalu kenderaan tersebut beredar.

Yusra Dahliyaa menghembus nafas lega. Takdir masih menyebelahi mereka. Mujur lelaki itu tidak memanjangkan cerita dan terus berlalu pergi. Namun, ada sesuatu secara tidak sengaja datang dan ia masih belum pergi. Perasaan aneh yang singgah di hati Qhayrul pada detik itu.

“Kalau ya pun nak larikan diri, tengoklah kiri kanan dulu. Kang tak pasal-pasal ada kemalangan kat depan mata aku. Lepas tu bukannya reti nak minta maaf dengan abang tu tadi. Kau yang salah, aku pula yang kena marah.”

Qhayrul membisu. Terkesima dengan tindakan Yusra Dahliyaa. Sememangnya perempuan itu penuh dengan kejutan.

Yusra Dahliyaa baru menyedari kedudukan mereka rapat kerana merasakan pandangannya begitu hampir dengan wajah Qhayrul. Yusra Dahliyaa menjarakkan dirinya. Dia menanti balasan kata daripada Qhayrul, tetapi Qhayrul terus merenungnya. Dia ni tak bergerak pun dari tadi. Takkan dah meninggal kut? Meninggal dalam keadaan berdiri macam ni? Isy, takkanlah. Tapi, apasal pandang aku langsung tak berkerdip mata? soal Yusra Dahliyaa dalam hati. Hairan.

Tubuh Qhayrul seakan-akan kaku di situ. Niatnya tadi mahu melarikan diri hilang entah ke mana.
Yusra Dahliyaa sudah tidak senang melihat anak mata Qhayrul yang terus memandangnya.

“Apasal kau tengok aku macam tu? Takut aku bawa kau pergi balai polis ke? Tak apalah, kali ni aku lepaskan kau. Aku harap kau ambil iktibar apa yang jadi hari ni. Cuba bayangkan kalau kau terlibat dengan kemalangan tadi? Nak dijadikan cerita kau meninggal masa kemalangan tu. Sia-sia aje kau meninggal masa nak meragut. Ni namanya Allah masih lagi beri kau peluang untuk berubah,” kata Yusra Dahliyaa.
“Kenapa kau selamatkan aku? Kau boleh aje biarkan aku kena langgar tadi, kan? Aku dah cuba nak ragut kau, tapi kenapa kau tarik lengan aku? Kau tak takut ke kalau kau tolong aku ni macam kau dah tolong anjing yang tersepit? Kau lupa ke apa yang aku dah buat kat kau tadi?” Bertalu-talu soalan yang dilemparkan oleh Qhayrul kepada Yusra Dahliyaa. 

Entah kenapa perasaan sebak muncul di sudut hatinya yang paling dalam. Belum pernah dia bertemu dengan insan seperti wanita yang berada di hadapannya itu.
Wajah Yusra Dahliyaa tiba-tiba bertukar menjadi pucat. Tayangan kenangan silam muncul semula pada layar fikirannya. Selama ini kenangan itu yang cuba dia padamkan daripada kotak ingatan, tetapi langsung tidak berjaya. Sebaliknya, kejadian hari itu seperti berulang kembali pada hari ini. Cuma bezanya, dulu bukan di hadapan mata.

“Kau anggap aje itu semua takdir. Kau, peragut. Orang yang tak ada hati, tak ada perasaan dan sanggup meragut benda yang bukan hak milik kau, tapi aku tak sanggup melihat ada nyawa yang diragut kat depan mata aku,” balas Yusra Dahliyaa.
Qhayrul dapat melihat ada air mata yang bertakung pada kelopak mata itu. Yusra Dahliyaa cuba bertahan. Dia mengambil beg tangannya yang berada di atas jalan raya. Yusra Dahliyaa terus berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang.

Pandangan Qhayrul menemani langkah Yusra Dahliyaa sehingga perempuan itu lenyap daripada penglihatannya. Dia menekup muka dan meraup rambutnya ke belakang. Masih lagi tidak percaya dengan apa yang berlaku. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Perancangan yang pada mulanya mahu meragut sudah bertukar ke sebaliknya. Perempuan itu sudah menyelamatkan nyawa seorang peragut. Situasi seperti ini jarang berlaku. Atau sememangnya tidak mungkin pernah berlaku.

Perasaan Qhayrul semakin tidak menentu. Dia dibelenggu perasaan bercampur aduk. Perasaan bersalah, menyesal, tidak sangka, terhutang budi, semuanya menjadi satu. Tetapi, ada satu perasaan yang lain daripada lain terbit. Rasa itu indah. Qhayrul tidak pernah menyangka hatinya mampu membisikkan sesuatu. Dia tidak mengerti dengan perasaan tersebut. Nampaknya Qhayrul seperti sudah jatuh cinta dengan penyelamat nyawanya itu. 

You Are My Mr.Right - Bab 1

BAB 1

PENGUSAHA RESTORAN  WARISAN WIRA MENINGGAL DUNIA
JOHOR BAHRU : Pengusaha Restoran Warisan Wira, Idrus Wira bin Amran Wira meninggal dunia pada usia 56 tahun malam kelmarin di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Menurut anak sulung pengusaha ini, Isyraf Wira, ayahnya terkena serangan angin ahmar secara tiba-tiba setelah jatuh di dalam kamar mandi seminggu yang lalu. Idrus Wira ketika usia mudanya adalah seorang ahli perniagaan restoran kecil-kecilan dan lama-kelamaan ia berkembang menjadi restoran berkonsepkan ala resort pada tahun 1988 sehingga kini. Restoran Warisan Wira merupakan salah satu restoran terbaik di Malaysia yang menghidangkan makanan tradisional Melayu Johor serta beberapa makanan dari negeri yang lain. Jenazah pengusaha bumiputera terkenal itu telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah Johor Bahru kira-kira jam 4.00 petang semalam. 

Sebaik sahaja Qhayrul selesai membaca berita tersebut sehingga habis, fikirannya tiba-tiba melayang teringat akan majikannya.
“Bilalah giliran orang tua si bakhil ni nak jadi macam ni? Makin kaya makin kedekut. Kalau anak lelaki dia tu yang ambil alih, senang sikit aku nak tipu budak tu,” kata Qhayrul sambil menyelak halaman surat khabar yang seterusnya.
“Qhayrul!”
Lelaki berusia 25 tahun itu terkejut. Sedang enak menikmati waktu rehat, tiba-tiba suara garau Osman datang dari arah hadapan, mengganggu dirinya. Qhayrul yang sedang duduk di tangga pintu belakang menoleh.
“Alamak, panjang umur pula orang tua ni. Baru aje sebut bila dia nak ‘pergi’, tiba-tiba datang terpekik-pekik. Buang tabiat lagi ke apa orang tua ni?” rungut Qhayrul sendiri.
“Qhayrul!” Sekali lagi kedengaran namanya dipanggil
“Apa dia, bos? Kan tengah waktu rehat aku ni? Tak reti tengok jam ke?” rungut Qhayrul lalu mendecit. Ada nada tidak puas hati di situ.
“Aku memang reti tengok jam, tapi kau tu yang tak reti bahasa,” balas Osman.
Qhayrul mengeluh panjang. Dia menjeling ke arah Osman lalu bangun berhadapan dengan majikannya. Surat khabar yang berada di tangan dihempas kuat ke lantai, menunjukkan tanda protes. “Bos kalau nampak muka aku ni, memang nak marah aje ke? Apa benda yang aku dah buat?”
Osman menghulurkan sampul surat yang berada di tangan kanannya kepada Qhayrul. “Ini gaji kau bulan ni. Lepas tu dah tak payah datang kerja lagi.”
Kening itu terjongket tatkala mendengar kenyataan Osman. Senyuman sinis terukir. Sebelum ini sudah banyak kali Osman berkata sedemikian, tetapi hanya sekadar kata, tidak pada perbuatan.
“Bos dah banyak kali cakap benda yang sama, tapi tetap juga ambil aku kerja. Kalau nak makan, tak cukup kalau setakat nasi tu ada kat depan mata, tapi langsung tak nak kunyah, bos,” kias Qhayrul sambil mengambil sampul surat yang dihulurkan oleh Osman. Dia membuka lalu memeriksa helaian wang kertas tersebut.
“Kali ini aku tak main-main. Bukan setakat kunyah, kalau boleh aku nak telan kau sekarang ni. Dah berapa kali aku bagi kau peluang, tapi kau tetap curi duit aku.”
Badan Qhayrul bersandar pada pintu sambil sebelah kakinya ditapakkan ke permukaan pintu. Muka itu langsung tidak mempamerkan rasa bersalah. “Bos ada bukti ke aku yang curi?”
“Duit aku hilang sebelum ni sebab kau, kan?”
“Tu sebelum ni, bukan sekarang. Entah-entah orang lain yang curi. Bos kan kedekut, ramai orang dengki,” ucap Qhayrul, selamba.
“Qhayrul, kau ni memang jenis yang tak ada masa depan. Restoran aku buka pukul 7.00, kau datang pukul 10.00. Itu pun aku tak berkira dengan kau tau. Aku sabar dan bertahan aje selama ni sebab kau tu pandai masak. Ramai pelanggan yang datang suka dengan masakan kau, tapi kalau dah tiap-tiap bulan aku rugi macam ni, kau nak sedut darah aku sampai kering ke?!” marah Osman. Wajah lelaki tua itu sudah menyinga.
Dahi Qhayrul berkerut sebaik sahaja selesai mengira wang yang berada di dalam sampul surat. Perasaan tidak puas hati semakin memenuhi jiwa.
“Bos, apa ni? Tak cukup. Ni baru berapa ratus. Bos ingat bos boleh kaya ke kalau tak sebab aku kerja kat sini? ”
“Kau ingat restoran ni bapa kau punya? Gaji kau, aku dah tolak dengan duit yang kau curi tu. Itu pun nasib baik aku baik hati nak kasi. Kalau ikutkan rasa marah aku ni, satu sen pun kau tak dapat tau. Sampul surat tu pun aku tak nak kasi. Aku tak tahu macam mana mak bapa ajar kau. Kalau kau ni anak aku, dah lama...”
Tali apron terikat di pinggang dilepaskan lalu dilempar ke wajah orang tua itu. “Alamak, berkira sangatlah. Nah, ambillah apron kau ni, orang tua. Ingat aku teringin sangat nak kerja dengan kau? Nak sebut mak bapa pula. Macam kau kenal aje siapa mak bapa aku.”
“Memang dasar budak kurang ajar. Kau ingat, ada orang nak ambil mat rempit macam kau ni kerja? Kau ni sampai ke tua memang macam nilah hidup kau.”
Qhayrul mencapai topi keledar yang berada di kabinet dapur. “Argh, pergi jahanamlah. Kerja banyak, gaji sikit. Fikir guna otak sikitlah orang tua. Duit menimbun macam bukit tu bukannya boleh bawa masuk kubur pun.”
Qhayrul mengenakan topi keledar lalu melangkah menuju ke tempat letak motosikalnya. Osman hanya menggelengkan kepala. Memang sudah banyak kali dia menasihati Qhayrul, tetapi anak muda itu langsung tidak menghiraukan segala tegurannya.

------------------------------------------ 

Rafi Huzaifa berlari-lari mendapatkan Yusra Dahliyaa yang sudah berada di hadapan pintu pagar. Anak kecil itu kelihatan riang tatkala melihat wanita tersebut datang untuk menjemputnya pulang. Cikgu Amira yang merupakan guru kelas Rafi Huzaifah tersenyum dan mengiringi pelajarnya itu menuju ke pagar. Yusra Dahliyaa melutut dan mendepakan tangan, lantas Rafi Huzaifa datang memeluk erat Yusra Dahliyaa. Yusra Dahliyaa menatap wajah itu lalu satu kucupan hinggap di pipi Rafi Huzaifa. Hilang sudah segala penat lelahnya bekerja seharian tatkala melihat senyuman itu.
“Rafi hari ni nakal tak kat sekolah?”
“Rafi tak nakal. Hari ni Rafi belajar huruf R. Kata cikgu nama Rafi mula dengan huruf R.”
“Ya? Pandainya anak ibu ni.” Sekali lagi Yusra Dahliyaa mendakap Rafi Huzaifa. Terasa bangga anaknya mampu menerima apa yang diajar oleh tenaga pengajar di tadika tersebut.
“Puan Yusra,” panggil Cikgu Amira.
“Ya, saya. Kenapa, cikgu?” balas Yusra Dahliyaa, bingkas bangun.
“Saya ada perkara nak bincang dengan puan.”
Daripada riak dan ekspresi muka itu, Yusra Dahliyaa seperti dapat menjangka perkara yang akan mereka bincangkan sebentar lagi.
“Rafi, pergi main sekejap kat playground sana ya. Ibu nak cakap sikit dengan Cikgu Amira,” arah Yusra Dahliyaa.
Rafi Huzaifa mengangguk tanpa sebarang soal bicara. Beg sekolah yang disandang diambil oleh Yusra Dahliyaa.
“Ini berkenaan dengan yuran yang saya cakap pada minggu lepas. Puan Yusra masih lagi keberatan ke nak bayar? Masuk bulan ni dah tiga bulan tertunggak. Saya bukan apa, Puan Yusra, saya faham dengan keadaan puan. Puan kena tanggung sendiri segala perbelanjaan hidup puan dan Rafi. Tapi...”
“Tak apa, cikgu. Saya faham.”
“Pihak atasan tadika pun dah berulang kali tanya akan hal ini. Kalau puan tak dapat bayar untuk tempoh tiga bulan, puan bayar untuk sebulan pun tak apa. Saya akan cuba berbincang lagi dengan mereka.”
Yusra Dahliyaa mendiamkan diri untuk seketika. Wajahnya yang tadi ceria kini sudah berubah.
“Insya-Allah, cikgu. Saya cuma minta tempoh lagi dua tiga hari. Saya akan usahakan. Lagipun dalam tempoh tu gaji saya bulan ni dah keluar rasanya. Cikgu dah banyak tolong saya. Saya minta maaf sangat-sangat kalau keadaan saya yang tak mengizinkan ni dah menyusahkan cikgu,” mohon Yusra Dahliyaa.
Yusra Dahliyaa, bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah syarikat swasta di bandar Johor Bahru. Gajinya sebanyak RM1400 sebulan belum cukup untuk menampung kehidupan mereka berdua di tengah-tengah bandar metropolitan itu. Hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia yang ada, itu sajalah yang mampu Yusra Dahliyaa perolehi memandangkan dia tidak menghabiskan pengajiannya ketika di universiti kira-kira enam tahun yang lalu.
“Baiklah, puan. Saya bagi tempoh lagi tiga hari.”
“Terima kasih banyak-banyak, cikgu. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa baik cikgu. Cikgu dah tolong saya jaga Rafi masa saya bekerja. Kalau saya tak dapat hantar Rafi ke tadika ni, saya tak tahu nak hantar ke mana lagi, cikgu.”
Cikgu Amira tersenyum sambil pandangannya memerhatikan raut wajah ibu tunggal itu. Dia bersimpati dengan Yusra Dahliyaa. Pandangan itu kemudiannya dilontarkan kepada Rafi Huzaifa yang sedang seronok bermain gelongsor.
“Rafi ni baik budaknya. Walaupun dia agak pendiam sedikit daripada budak yang lain, tapi pemikiran dia bijak. Saya perasan ada beberapa orang bertanyakan akan hal bapanya. Kadang-kadang ada juga yang nakal tu mengejek dia. Tapi, apa yang Rafi buat, dia diamkan diri. Seolah-olah dia faham apa yang berlaku. Saya rasa kalau budak lain, dah lama melawan, tak pun menangis.”
Terbit rasa terharu di hati Yusra Dahliyaa. Hampir sahaja air matanya mahu menitis, namun masih berjaya dibendung.
“Terima kasih, cikgu. Saya bersyukur sangat ada anak yang memahami macam Rafi tu. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu, cikgu.”
“Yalah, saya pun ada beberapa hal lagi yang perlu saya selesaikan ni.”
“Rafi, jom kita balik,” panggil Yusra Dahliyaa.
Rafi Huzaifa menoleh dan berlari perlahan menuju ke arah dua orang dewasa itu.
“Salam Cikgu Amira, sayang,” arah Yusra Dahliyaa.
Tangan kecil Rafi Huzaifa menghulur salam terlebih dahulu lantas Cikgu Amira membalas. Kanak-kanak lelaki itu mengucup tangan perempuan tersebut.
“Assalamualaikum, cikgu,” ucap Rafi Huzaifa.
“Waalaikumussalam, Rafi.”
Bibir Yusra Dahliyaa tersenyum kemudian mereka berdua pula bersalaman. Pandangan sayu Cikgu Amira menemani langkah anak-beranak itu sehingga mereka berdua hilang daripada pandangan.
Yusra Dahliyaa dan Rafi Huzaifa menapakkan kaki sambil berpimpin tangan ke pangsapuri berdekatan. Perjalanan ke kawasan tersebut mengambil masa kira-kira 20 minit jika berjalan kaki. Yusra Dahliyaa mengeluh panjang. Keluhannya kedengaran berat.
“Ibu, Rafi nak tanya sikit boleh?” tanya Rafi Huzaifa memecahkan khayalan Yusra Dahliyaa.
“Rafi nak tanya apa?”
“Cikgu Amira minta duit kat ibu ke?”
Wanita itu terdiam seketika. Seboleh mungkin wajahnya diukir rasa tenang. “Tak adalah, sayang. Cikgu Amira tak cakap macam tu pun kat ibu. Cikgu cuma cakap yang Rafi pandai masa belajar kat dalam kelas.”
“Kalau Cikgu Amira minta ibu duit, Rafi tak boleh nak tolong ibu sebab Rafi tak ada duit. Kena tunggu Rafi dah besar baru Rafi boleh kerja. Tapi, Rafi boleh tak payah pergi sekolah. Bila Rafi tak pergi sekolah, ibu tak payah jumpa dengan Cikgu Amira lagi.”
Yusra Dahliyaa tersentak dengan kata-kata anak lelakinya itu. Tidak semena-mena air matanya gugur. Masakan Rafi Huzaifa yang berumur lima tahun itu mengerti akan kehidupan mereka? Yusra Dahliyaa menghentikan langkah lalu tunduk mendekati wajah anaknya itu. Yusra Dahliyaa mengusap lembut pipi Rafi Huzaifa.
“Mana boleh macam tu. Rafi kena pergi sekolah. Rafi kan nak jadi budak pandai, anak yang baik. Betul tak?”
“Ibu, janganlah nangis. Rafi minta maaf kalau Rafi buat ibu sedih.” Jari-jemari kecil Rafi Huzaifa singgah di pipi Yusra Dahliyaa pula.
“Tak adalah, sayang. Rafi tak buat salah apa-apa pun,” ujar Yusra Dahliyaa sambil mengesat habis air mata yang gugur. Dia cuba tersenyum.
“Jom, kita pergi kedai depan tu. Ibu nak beli ayam, ibu nak masak ayam goreng. Dah lama kan kita tak makan ayam goreng?”
“Betul ke, ibu?” Muka Rafi Huzaifa kelihatan ceria.
“Ya, betul. Tapi, kita kena cepat. Nanti lambat, ayam kat kedai tu habis,” gurau Yusra Dahliyaa, cuba mengalihkan perhatian Rafi Huzaifa.
“Kalau macam tu, kita kena cepatlah, ibu. Jom,” balas Rafi Huzaifa lantas tangannya menarik tangan Yusra Dahliyaa.
Yusra Dahliyaa menggelengkan kepala melihat telatah Rafi Huzaifa. Sememangnya anak kecil seperti itu tidak seharusnya dibebani dengan masalah orang dewasa.


--------------------------------

Bunyi deruman enjin motosikal Yamaha 125Z memenuhi ruang warung makan sewaktu Qhayrul sampai di situ. Qhayrul mematikan enjin sebaik sahaja stand motosikal itu diturunkan. Topi keledar yang tersarung pada kepala ditanggalkan lalu dijinjing ke sisi. Tangan kiri Qhayrul memperkemas rambutnya yang pendek. Apabila sampai di bahagian tengkuk, rambut panjang berwarna perang pekat seakan-akan ekor rambut itu disisir kasar.

Terdapat dua orang lelaki yang sedang duduk menghabiskan masa tanpa arah tujuan di salah satu meja warung tersebut. Salah seorang daripada mereka menoleh ke arah Qhayrul.

“Itu bukan Qhayrul ke, Belut? Dia tak kerja ke hari ni?” soal Fitri, atau nama gelarannya Kucai.

Belut membuang pandangan ke arah yang sama dengan Kucai. Dia ketawa, seperti dapat mengagak apa yang berlaku.

“Apa cerita tukang masak Restoran Wak Osman kedekut?!” jerit Belut dari tempat duduknya. Ada nada sinis di sebalik gurauan Belut.

Tatkala mendengar kata-kata Belut, Kucai sudah tergelak. Apabila sampai di tempat duduk mereka, Qhayrul menghempas topi keledarnya di atas meja plastik itu. Bergegar objek tersebut, menyebabkan gelas plastik yang terletak di atas meja hampir sahaja jatuh ke lantai. Cepat-cepat tangan Belut dan Kucai memegang gelas mereka daripada bergolek.

“Main kasar nampaknya kau, Belut. Kang ada juga atas meja ni ada lauk belut masak cili. Kau pula Kucai, kena gaul dengan mi goreng. Daripada aku datang lapar nak marah orang, bila aku balik nanti kenyang sebab makan orang.”
“Woo... Relakslah der. Gurau aje pun. Lagipun memang betul apa kau tukang masak Wak Osman kedekut tu,” balas Kucai.

Qhayrul menarik kerusi yang kosong lalu melabuhkan punggungnya.

“Abang, kasi sirap ais satu. Rasa panas sangat hari ni,” pesan Qhayrul sambil tangannya mengibas bahagian dada baju.
“Ni apa kes? Tak kerja ke apa? Bukan patutnya sekarang ni kau tengah pegang sudip dengan kuali kat dapur ke? Awal sangat kau sampai hari ni. Baru pukul 6.00,” kata Belut.
“Aku dah berhenti kerja kat kedai orang tua tu.”
“Berhenti kerja?” soal Kucai, antara percaya dengan tidak.
“Aku dah dapat agak pasal apa pak lebai kedekut tu berhentikan kau. Tak ada hal lain ni. Mesti sebab kau curi duit dia, kan?” telah Belut.

Qhayrul membisu. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak.

“Ke sebab lain? Kau nak aku dengan Kucai ajar orang tua tu ke?”
“Tak payahlah. Malas aku nak fikir masalah orang tua tu. Buat sakit kepala aje. Memang aku ambil duit dia pun. Gaji dahlah tak besar mana, kena potong lagi. Kalau aku tahu, aku curi lebih sikit. Biar gugur semua rambut dia.”
“Itu memang salah kaulah. Aku dah pesan suruh kau ambil sikit-sikit. Pandai makan, pandai simpan,” ajar Belut.
“Habis tu, apa yang aku simpan tu tak keluar ke, sengal? Bila dah keluar, mestilah ada yang kurang. Yang kurang tulah kena isi. Tapi, isi pun kalau paras hidung macam mana nak hidup?”
“Janganlah nak marah sangat der. Cakap pasal isi ni, aku ada berita baik punya. Tadi aku dah cerita dengan Belut. Berita yang bakal kau dengar ni mampu mengisi poket kau yang dah tak beberapa nak isi tu,” ujar Kucai.
“Berita baik?” Kening Qhayrul terangkat. Perasaan teruja terbit.

Belum sempat Kucai menyambung butir katanya, lelaki berusia lingkungan 30-an datang membawa minuman yang dipesan oleh Qhayrul tadi. Qhayrul menyedut laju air tersebut sehingga separuh. Terasa lega ketika air sirap sejuk itu melalui tekaknya.

“Malam ni Todak ada buat tiga tiang kat dataran. Aku dengar ramai budak turun,” beritahu Kucai. (tiga tiang- perlumbaan)
“Todak buat tiga tiang? Fuh, dah lama juga aku tak dengar cerita pasal si Todak ni. Sejak dia kalah dengan aku dua minggu lepas.”
“Itu yang aku nak beritahu kau ni. Kononnya dia nak tebus balik maruah dia yang kau dah pijak tu. Kali ni laluan memang gila wa cakap sama lu. Jalan kasi pusing sana, pusing sini. Kau tak tercabar ke?” tanya Kucai, sengaja mengapi-apikan keadaan.
“Peluang baik ni. Aku pun tengah ada duit nak letak ni. Kalau Todak ajak ramai budak turun, maknanya duit yang aku nak menang nanti tu pun banyaklah juga.”
"Der, aku suka kalau Todak buat tiga tiang ni. Ada hadiah ekstra tu. Mambang dia, pergh... Telan air liur aku tengok. Dah lama aku nak tanya kat kau orang. Bapa ayam ke apa si Todak tu?” soal Belut.
“Aku tak tahulah, Belut, si Todak tu bapa ayam ke apa. Tapi, mamat tu memang banyak kaki. Kau tengok muka dia pun muka buaya tembaga. Perempuan memang senang lekat kat dia. Banyak duit siot,” jawab Kucai.
“Pasal perempuan tu aku tak nak pun. Kau tahu kan aku tak main perempuan. Payah kalau dah terlajak ni. Aku lebih suka menang duit aje. Perempuan yang aku menang hari tu pun aku tak tahu dari mana. Daripada aku kena HIV tak tentu pasal, lebih baik aku tak payah rasa. Kalau kau cari padah juga, dah kira bunuh diri namanya tu.”

Belut dan Kucai sudah tergelak mendengar ayat-ayat yang terpacul dari bibir Qhayrul. Sememangnya satu perangai Qhayrul itu berbeza daripada mereka. Mana ada kucing yang menolak ikan yang sudah berada di hadapan mata? Mustahil. Tapi, mustahil macam mana sekali pun, memang itulah satu sikap Qhayrul yang elok berbanding Belut dan Kucai yang perangai dah serupa hantu.

“Kau ni, Qhayrul, memang tolak tuah tahu tak? Orang dah bagi ayam golek siap ada madu, kau balun ajelah. Malam ni kalau menang, kau kasi aku hadiah ekstra tu,” cadang Belut.
“Tuah kepala otak kaulah, Belut. Tak payahlah kau nak perempuan daripada Todak tu. Kalau kau dah terlajak, mengandung budak tu, kau nak tanggungjawab ke?”
“Ustaz Qhayrul dah datang. Terus aku rasa nak pergi kedai cari kopiah dengan serban,” sindir Kucai.
“Aku cakap benda yang betul. Aku malas nak tambah masalah dalam hidup aku ni. Yang aku tahu, aku nak menang duit tu malam ni.”