Stylo Clique ^_^

Friday, September 6, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 2

BAB 2

“Biar berdentum guruh di langit, bumi tak akan hancur sebelum kiamat.”

Matanya seperti terpukau melihat kertas lukisan itu. Pandangannya seolah-olah terpaku dengan apa yang ada di dada kertas itu. Halus, kreatif dan penuh dengan jiwa. Itu yang terbit di fikirannya. Lukisan seorang lelaki sedang berjalan sendirian sambil memandang langit terbentang luas yang beransur jingga itu begitu menarik perhatiannya. Seolah-olah lelaki di dalam lukisan itu mahu mencoretkan sesuatu ke dada langit. Tambahan lagi latar belakang waktu senja itu menambahkan lagi perasaan sayu si pelukis. Sepertinya lelaki itu mahu bebas daripada cengkaman hidup yang melanda diri. Dia cuba menyentuh lukisan itu.

“Cantik ke?”
Tangannya terhenti lalu memandang lelaki bersusuk tubuh kurus itu sambil  memberikan senyuman.

“Cantik,”
“Cik nak beli ke?” tanya Amsyar.
“Lukisan ni encik yang punya ke?”
“Kenapa ya?”
“Saya kagum. Halus hasil tangan pelukis ni. Encik ke orangnya?”
“Eh, bukan saya. Dia tak ada. Keluar kejap. Ada hal katanya.”

Pandangannya kembali kepada lukisan itu.

“Macam dah jatuh cinta aje dengan lukisan tu,”

Kedengaran ketawa kecil keluar daripada mulut yang merah mekar itu.

“Bukan senang nak hasilkan lukisan macam ni. Seni lukisan tak cukup dengan ilham dan tangan yang berbakat malah ia memerlukan jiwa, perasaan dan naluri. Setiap garisan dan bayang yang terhasil ada makna yang mahu disampaikan. Kadang-kadang meluahkan sesuatu ke atas kertas lebih lantang bunyinya daripada memekik menggunakan bibir. Lukisan ni ada kuasa untuk berbicara walaupun ia bisu. Kalau kita melukis dengan hati, orang akan tahu apa yang kita rasa.”

Amsyar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu, kurang mengerti dengan apa yang cuba disampaikan oleh gadis itu.
Pandangannya beralih kepada lukisan yang lain. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Dia seperti tenang melihat hasil kreatif pelukis yang tidak dikenalinya. Amsyar hanya memerhatikan pelakuan gadis itu. Dari kaca mata Amsyar, gadis berbaju putih itu begitu menjiwai lukisan Inderawan, sepertinya dia turut berada di dunia lukisan itu.

“Boleh saya ambil gambar lukisan ni? Saya dapat rasakan sesuatu emosi bila saya tengok lukisan ni. Saya janji, saya tak akan buat apa-apa pun. Cuma koleksi gambar peribadi saya aje,” pinta gadis itu.
“Rasanya boleh kut,” balas  Amsyar dengan perasaan berbelah bahagi.

--------------------------------

Jelas kedengaran bunyi tamparan itu di telinga Zulqarnain. Tangan Inderawan berada di pipi, menahan rasa pedih.

“Kau memang dah makin kurang ajar dengan ayahanda,”

Pandangan Inderawan semakin tajam terhadap Dato’ Mahmood.

“Kenapa tak nak tampar lagi sebelah, ayahanda?”

Inderawan seolah-olah mencabar ayahnya.

“Abang Indera..!!” tegur Zulqarnain.

Terkejut benar Zulqarnain dengan perubahan Inderawan. Sebelum dia berangkat ke Milan dahulu sifat Inderawan tidak sebegitu. Raudhah, Syaqir dan Naqiuddin hanya mampu membisu. Sudah lama mereka bertiga tidak menyaksikan pertengkaran dua beranak itu semenjak abang sulung mereka melangkah keluar daripada banglo tersebut.

“Anak biadap,” jerit Dato’ Mahmood lagi.

Lantang suara Dato’ Mahmood bergema di segenap ruang banglo itu lantas satu tamparan lagi hinggap di pipi kiri Inderawan. Kali ini tubuh Inderawan seperti tercampak ke sofa baldu itu. Berdengung telinga Inderawan ketika itu. Dato’ Mahmood sudah hilang sabar.

“Ayahanda tak kira. Kau mesti ikut cakap ayahanda,”
“Indera bukannya budak-budak lagi nak ikut semua kemahuan ayahanda,”
“Kau ni kenapa? Nak memberontak sejak ayahanda kahwin dengan Aunty Tria? Ataupun kau marah sebab ayahanda paksa kau kahwin dengan anak pemilik Laksmana Holdings tu?”
“Seorang ayah yang baik tidak akan sesekali memaksa anaknya melakukan sesuatu yang boleh menyakiti anaknya sendiri. Walaupun ayahanda besarkan Indera, tapi itu bukan alasan ayahanda boleh paksa Indera.”
“Apa??!! Kau ingat ayahanda ni siapa? Ayahanda ni bapa kandung kau tau.”

Inderawan tersenyum mengejek apabila mendengar perkataan itu.

“Bapa kandung? Bapa kandung patut ke perangai tak senonoh macam tu?”

Tangan kanan Dato’ Mahmood sudah naik.

“Ayahanda, jangan!!”

Zulqarnain cuba menghalang. Dia semakin keliru dengan apa yang berlaku. Pantas sahaja Inderawan berkeras tidak mahu melangkah masuk ke banglo itu tadi. Puas dia memujuk, baru Inderawan bersetuju.
Dato’ Mahmood memandang Zulqarnain lalu membatalkan niatnya.

“Susah sangat ke kau nak ikut kemahuan ayahanda? Ayahanda cuma nak kau tunang dulu anak Datuk Ramli tu. Dia kawan baik ayahanda. Tapi….kau dah ambil keputusan untuk melangkah keluar daripada rumah ni dan kau jadi pelukis tepi jalan. Itu ayahanda tak boleh terima. Ayahanda tak nak kau melukis kat tepi jalan tu tak tentu pasal. Macam orang jalanan, macam pengemis, macam orang tak ada tujuan,”
“Indera tak menyusahkan ayahanda meskipun Indera cuma seorang pelukis jalanan.”
“Tak menyusahkan ayahanda? Orang sekeliling nampak, nanti orang cakap ayahanda ni tak mampu nak kasi kau makan sampai kau sanggup mengemis kat tepi jalan tu. Susah payah ayahanda majukan Taming Sari Berhad. Ayahanda buat semua ni untuk kau orang adik-beradik. Dah hidup kau memang senang kat Taming Sari Berhad jadi CEO, tiba-tiba nak keluar jadi pelukis jalanan?”
“Untuk Indera? Ke untuk nama ayahanda? Ayahanda malu sebenarnya kan? Malu kalau orang cakap anak Dato’ Mahmood jadi pelukis jalanan.”

Kata-kata Inderawan seperti api yang marak di telinga Dato’ Mahmood.

“Abang Indera, ayahanda apa yang dah jadi sebenarnya?” ucap Zulqarnain dengan nada yang separuh tinggi, dia tidak mahu pertengkaran itu berterusan.

Kalau dia berada di tempat abangnya, dia biarkan sahaja Dato’ Mahmood memarahinya meskipun dia tidak pasti apa alasan yang menyebabkan perbalahan itu berlaku.

“Ayahanda dah buat keputusan. Kau suka ke tak suka, kau tetap kena tunang dan kahwin dengan anak Datuk Ramli tu. Kau jangan nak malukan ayahanda, Indera. Selagi kau tak mahu jejakkan kaki ke rumah ni dan kau tetap nak jadi pelukis tepi jalan macam peminta sedekah tu, jangan harap ayahanda nak wariskan apa yang ayahanda ni pada kau,” ucap Dato’ Mahmood dengan nada yang sangat tegas.

Nafas Inderawan turun naik, menahan geram. Geram dengan ayahnya.

“Ayahanda memang suka aturkan hidup orang lain kan? Ayahana terlalu pentingkan diri sendiri. Pernah tak ayahanda fikir pasal bonda? Ayahanda tahu tak apa yang ayahanda buat pada bonda?”
“Jangan sesekali kau nak libatkan soal bonda. Sekarang ayahanda tengah cakap pasal kau. Seseorang anak yang baik seharusnya menurut perintah ayahnya.”

 Inderawan mulai ketawa mendengar butir kata Dato’ Mahmood. Ketawanya penuh dengan nada sinis.

“Ayahanda nak berbicara soal anak yang taat? Kalau menurut, biar berakal. Kalau mengikut, biar pintar. Tuah Inderawan tak akan sesekali menurut perintah Dato’ Mahmood yang tidak masuk akal. Bagaimana seorang anak mahu menjadi anak yang taat sedangkan ayahandanya sendiri tidak tahu apa ertinya taat.”

Pandangan Dato’ Mahmood tepat ke mata Inderawan yang sedang menatapnya. Ego dan maruahnya tercabar dengan kata-kata anak sulungnya itu. 


  
“Tuah Inderawan, jangan sesekali mahu menduga taring si belang. Kau jangan lupa dengan siapa kau sedang bercakap.”
“Kenapa ayahanda? Bimbang taring sang harimau akan patah ataupun kuku sang belang akan tumpul tatkala pekung di dadanya terbuka? Ataupun ayahanda ada penyakit alahan kepada kebenaran?”
“Kau memang anak yang tak……………………”

Belum sempat Dato’ Mahmood menghabiskan ayatnya, suara itu bergema di segenap ruang tamu.

“Mahmood, Inderawan……apa yang dah berlaku ni?”

Tiba-tiba sahaja suara itu menjelma, mencelah di antara suara mereka. Dato’ Mansoor sedang berdiri sambil tangan kanannya memegang tongkat. Kesemua isi rumah memandang ke arah Dato’ Mansoor. Wajahnya jelas menunjukkan kemarahan.

“Tok ayahanda….” panggil Inderawan.

Dato’ Mansoor masih lagi kelihatan gagah walaupun raut wajah itu mempamerkan berpuluh kedutan. Dato’ Mahmood duduk sebaik sahaja ayahnya mula masuk campur.
“Sudah berapa kali aku suarakan, jangan sesekali menyalakan bara api dalam rumah ini. Kau anak beranak nak rumah ini hangus terbakar dijilat api dek keegoaan dan dendam kamu berdua?”



Inderawan hanya membisu. Bukan ini yang dia minta sebaik sahaja bertemu dengan datuknya. Dan bukan ini yang dia harapkan tatkala bertentang mata dengan Dato’ Mansoor. Dia sama sekali tidak mahu menjadi punca terhadap nyalaan api pertengkaran itu. Akan tetapi dia sendiri tidak mengerti. Setiap kali dia memandang wajah ayahnya, pasti perasaan itu muncul. Langsung tidak terlintas di hatinya mahu menjadi anak yang derhaka.

“Hari ini sepatutnya menjadi hari yang penuh dengan kesyukuran kerana menyambut kepulangan Zulqarnain. Tapi sekarang dah jadi malapetaka yang memakan diri. Mahmood, sepatutnya kau sambut kepulangan Nine dan Indera.”
“Ayahanda, Indera perlu ditegur kerana sudah membuat kesilapan.”

Dato’ Mansoor berjalan perlahan menuju ke sofa tunggal yang terletak berhampiran dengan tempatnya berdiri. Si kembar Syaqir dan Naqiuddin segera membantu datuk mereka berjalan, bimbang jika ada apa-apa yang berlaku. Kesihatan Dato’ Mansoor tidak menentu.

“Tegur biar berlapik, cakap biar beralas, Mahmood. Apa yang ayahanda dengar bukan tegur tapi bertengkar,” ucap Dato’ Mansoor sebaik sahaja duduk.

Inderawan segera menuju ke arah Dato’ Mansoor lalu menghulurkan tangan mahu bersalam dengan datuknya dan tangan yang berurat itu menyambutnya.

“Tok ayahanda, maafkan Indera. Indera bukannya ada niat untuk menyakiti tok ayahanda apatah lagi mahu menghunus sembilu di hati tok ayahanda. Mungkin kedatangan Indera ke rumah ini langsung tidak diterima dengan hati yang terbuka.”
“Rumah ini rumah Indera juga. Rumah ini milik tok ayahanda,” balas Dato’ Mansoor.
“Maafkan Indera. Mungkin rumah ni dulu rumah Indera juga. Tapi bukan sekarang. Apa yang jadi sekarang dah tak sama macam dulu. Masakan masa yang sudah berputar boleh diundur kembali, tok ayahanda. Biar Indera hidup berdikari.”
“Anak tak tahu dek untung dan budi. Tak tahu apa itu senang, apa itu payah, ada hati hendak berdikari? Biarkan dia ayahanda. Biar dia tahu langit tu rendah ataupun tinggi,” sindir Dato’ Mahmood.

Inderawan menoleh ke arah Dato’ Mahmood semula.


“Kalau ayahanda lebih tahu langit itu tunggi ke rendah, kenapa ayahanda masih meminta daripada anak sulung ayahanda ni untuk kahwin dengan anak Datuk Ramli tu? Kenapa ayah masih merayu kepada pengemis jalanan ini? Masih tidak cukup tinggi jajahan langit ayahanda atau belum cukup luas lagi taklukan bumi ayahanda? Tidak cukup lagi ke dengan apa yang ayahanda miliki sampai sanggup membuang anak sendiri?”
“Ayahanda tak pernah buang kau. Kau sendiri yang nak keluar daripada rumah ni.”
“Sudah Mahmood, Indera. Aku kat sini bukannya tunggul kayu yang tidak mempunyai suara.”
Inderawan tertunduk. Sememangnya pendirian Dato’ Mahmood tidak bisa diubah.
“Abang Indera, ayahanda, tok ayahanda….apa yang sedang berlaku sebenarnya ni?” soal Zulqarnain.

Dia dari tadi masih lagi teraba-raba di dalam gelap mencari arah. Seolah-olah sedang memekik sendirian meredah hutan yang tiada penghujungnya. Mengapa semua orang dalam rumah itu berubah? Tidak sama seperti hari terakhir dia melangkah ke Italy dulu. Dato’ Mansoor juga berubah. Dia kenal benar perangai datuknya itu. Datuknya bukan pemarah orangnya. Dan mengapa Inderwan juga begitu?

Inderawan segera melangkah, mahu meninggalkan banglo itu.

“Inderawan, jangan kau nak teruskan lagi melukis tepi jalan tu kalau kau rasa kau masih lagi darah daging aku.”

Kata-kata Dato’ Mahmood bagaikan jarum yang menusuk ke jantungnya. Sakit tidak terkata. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia bertikam lidah tetapi tidak sanggup rasanya terus menerus mencetuskan peperangan dengan Dato’ Mahmood di hadapan Dato’ Mansoor. Sudah dari awal lagi dia menduga perkara ini akan berlaku sebaik sahaja Zulqarnain pulang daripada Milan, Italy. Peristiwa hampir setahun yang lalu menjelma semula di fikirannya.
Belum sempat dia memulas tombol pintu itu, terlebih dahulu ada seseorang sedang membuka pintu tersebut. Inderawan kenal benar dengan wajah itu. Tidak mungkin dia mampu melupakan wajah wanita itu daripada kotak fikirannya. Ibu tiri Inderawan cuba mengukir senyuman tetapi dibalas dengan pandangan yang sama seperti pandangan Inderawan terhadap Dato’ Mahmood. Benci dan dendam yang teramat dalam.

“Indera….baru sampai ke?” tegur Tria yang baru sahaja pulang daripada membeli-belah.

Inderawan memerhatikan wanita yang sudah menjadi isteri ketiga kepada Dato’ Mahmood. Dia tahu,wanita itu punya agenda tersendiri ketika mengahwini ayahnya.

“Saya rasa mesti aunty seronok kan kerana dilimpahi dengan wang ringgit. Mesti aunty 
bahagia kan setelah melihat penderitaan orang lain? Betul kan aunty Tria?”

Serta merta wajah Tria berubah tatkala mendengar kata-kata Inderawan. Kaki Inderawan segera melangkah keluar daripada rumah itu. Dia sudah nekad. Dia pasti dengan keputusan yang dia lakukan.
--------------------------------

Inderawan meletakkan kereta Kenari merah miliknya di tempat biasa. Dia sudah menjejakkan kakinya di Arked Jaya. Kakinya laju menuju ke gerai itu. Sebaik sahaja kakinya berhenti, tangannya laju menggapai stand lukisan yang berada di dinding lalu dilaraskan mengikut keselesaannya. Inderawan meletakkan kanvas lukisan yang masih lagi berbaki separuh siap ke atas stand kayu itu. Amsyar yang sibuk melayan pelanggan yang datang ke gedai bukunya segera menoleh sebaik sahaja melihat kelibat itu tiba. Amsyar yakin, pasti ada yang tidak kena pada Inderawan.

Inderawan duduk di bangku kecil itu lalu menekup mukanya seketika. Tatkala tapak tangannya menyentuh pipi, baru dia terasa perit. Kesan tamparan yang menghinggapi anggota itu baru kini terasa pedihnya. Tetapi tidak mampu menandingi pedih dan luka di hatinya. Inderawan tidak pasti apakah perasaan yang sedang menyelubungi segenap jiwanya. Semuanya bercampur aduk. Bagaikan dikisar lalu menjadi campuran yang entah apa rasanya. Dia mengambil sebatang pensel lalu diasah dengan pisau menjadi separuh tajam. Dia cuba untuk menenangkan jiwanya yang semakin bercelaru itu. Hanya dengan luahan di atas kertas putih itu sahaja yang mampu mengurangkan segala beban yang terbuku.

Inderawan merenung lukisannya yang separuh siap itu. Renungannya seperti boleh menembusi kertas itu sehingga kedai yang berada di hadapannya. Tangan kanannya masih lagi memegang pensel hb itu. Baru sahaja dia menemukan mata pensel itu dengan kanvas, tangannya seperti kaku untuk bergerak. Jiwanya kosong, fikirannya memikirkan kata-kata ayahnya.

“Kalau dah tak suka, jangan dipaksa, Wan,” tegur Amsyar yang baru sahaja selesai memasukkan wang kertas ke dalam beg pinggangnya.

Inderawan segera memandang Amsyar. Amsyar mengambil bangku merah dan bungkusan coklat yang berada di meja gerai bukunya lalu diberikannya bungkusan itu kepada Inderawan.

“Apa ni?”
“Kegemaran kau. Apa lagi kalau bukan getuk ubi Mak Cik Leha depan sana tu,” balas Amsyar sambil melabuhkan punggungnya di atas bangku merah itu.

Inderawan tersenyum.

“Kau belanja aku ke ni?”
“Makan ajelah. Aku tahu kau belum makan lagi.”
“Macam mana kau tahu aku belum makan lagi? Perut kau kongsi dengan perut aku ke?”
“Wan, aku kenal kau sejak hari pertama kau melukis kat sini lagi. Kau pakai sari dari jauh pun aku dah kenal siapa kau.”

Inderawan hanya mampu memberikan senyuman. Wan, itulah panggilan untuk dirinya ketika berada di situ. Ya, mungkin Amsyar kenal siapa Wan, tetapi rakannya itu belum cukup mengenali siapakah sebenarnya disebalik nama Wan itu. Cukup hanya sekadar nama pendek itu menjadi panggilan. Dia tidak mahu berhadapan dengan kenyataan perit itu.

“Apa yang kau fikir?” tanya Amsyar sambil tangannya menyeluk masuk bungkusan coklat yang berisi getuk ubi itu.
“Apa yang aku fikir?”

Inderawan mengembalikan soalan itu kepada Amsyar.

“Kau ni macam tulah selalu. Bila aku tanya kau, kau tanya aku balik,” rungut Amsyar lalu mengunyah lumat kuih tradisional itu.
“Yalah. Kenapa kau tanya aku macam tu pula?”

Amsyar menghabiskan kunyahannya terlebih dahulu sebelum kembali bersuara.

“Kalau kau dah mengadap lukisan tu tapi kau tak buat apa-apa pun, maknanya kau tengah fikir benda lain lah tu.”
“Yalah tu. Macam mana kau tahu?”
“Orang seni macam kau ni perlukan ilham untuk berkarya. Kalau tadi aku tengok tangan kau tak buat apa-apa pun tapi mata kau tengok lukisan tu sampai tembus, sampai nak koyak lukisan tu aku tengok.”

Inderawan menyengih lalu menyuap bebola getuk ubi itu ke dalam mulutnya. Sememangnya Amsyar seperti memahami perasaannya.

“Apasal pipi kau? Merah semacam aje?”
Lantas Inderawan menyentuh pipinya. Masih lagi terasa sakit. Semasa dia mengunyah tadi, turut terasa peritnya.

“Tak ada apa-apalah,” jawab Inderawan pendek.
“Tak ada apa-apalah? Klise sangatlah jawapan kau tu. Semua orang pakai kalau ada benda yang tak kena. Kenapa? Tiba-tiba aje? Tadi pergi muka kau elok aje. Tup tup balik merah padam kiri kanan.”
“Tak ada apa-apalah, Am.”

Pandangan Inderawan mahu mengelak daripada menatap mata Amsyar. Dia mengalihkan penglihatannya ke tempat lain.

“Kau ni memang macam ni kan? Suka simpan sendiri semua benda. Kau ingat kau tu poket Doraemon? Simpan semua benda dalam poket yang kecil tu? Masa pertama kali kau sampai sini pun kau ni macam misteri orangnya. Sampaikan nama kau pun aku tahu Wan aje. Takkanlah nama kau Wan aje kan? Dah banyak kali aku tanya tapi kau tak pernah jawab. Manalah tahu Ridhwan ke, Izwan ke Cik Siti Wan Kembang ke, Wan Maimunah ke.”

Amsyar cuba berseloroh. Begitulah sikapnya. Dia tidak suka orang disekelilingnya bemuram durja.
Inderawan masih lagi mampu mendengar jenaka Amsyar namun semuanya umpama pantulan batu ke dinding. Langsung tidak masuk ke fikirannya.

“Am, kau selalu gaduh dengan ayah kau tak?” soal Inderawan, tiba-tiba.
“Ayah aku? Pernahlah juga. Tipulah kalau kata tak pernah tapi taklah selalu. Kadang-kadang memang ada perselisihan faham. Biasalah tu. Walauapapun yang jadi, meskipun aku berlainan pendapat dengan ayah aku dalam sesetengah perkara, dia tetap orang yang paling aku sanjung selepas mak aku.”

Inderwan memberikan ketawa sinis setelah mendengar jawapan daripada Amsyar.

“Apasal? Kau gaduh dengan ayah kau ke? Pipi sampai merah mak ngah ni sebab ayah kau ke?” teka Amsyar.

Inderawan membisu. Hanya pandangan kosong sebagai jawapan.

Tuesday, September 3, 2013

Encik Pendekar & Mr.Keju - Bab 1

BAB 1

“Bangkai sang belalai ingin ku tutup, namun baunya ada walau hidung terkatup.”

Bunyi deraian puluhan tapak kaki di lapangan terbang langsung tidak memberi kesan kepada telinga itu. Hatinya sedikit terganggu. Cuba menjangkakan perkara yang akan berlaku sebaik sahaja insan itu tiba. Lengan baju yang panjang disingsing sedikit untuk melihat jam yang berada dipergelangan tangan kanannya. Jarum jam sudah melepasi pukul 3.00 petang. 

Kaki Inderawan sudah pun tiba di lobi utama Lapangan Terbang Senai. Mata bundarnya memerhatikan skrin besar yang memaparkan jadual perjalanan dan ketibaan kapal terbang yang membawa penumpang. Penerbangan daripada Kuala Lumpur sudah pun tiba. Dia pasti tidak lama lagi Zulqarnain akan muncul di celah-celah puluhan orang yang ada. Mata Inderawan kini lebih peka memandang balai ketibaan. Perasaannya gembira bercampur gusar. Sudah lebih 3 tahun dia tidak bertemu dengan Zulqarnain. Kata orang, banyak perkara boleh berlaku dengan hanya sekelip mata apatah lagi dalam tempoh itu. Dalam tempoh itu jugalah terlalu banyak perkara yang berlaku di dalam hidupnya tanpa pengetahuan Zulqarnain.

Tanpa disedari Inderawan, bahunya seperti disentuh oleh seseorang. Tindakan refleks Inderawan, dia menoleh ke kanannya. Pandangannya singgah ke arah lelaki yang sudah berumur lebih 50 tahun itu.


“Pak Hamid,” ucap Inderawan.

Pak Hamid cuba mengukir senyuman. Anak muda di hadapannya itu sudah jauh berubah. Hampir setahun anak majikannya itu membawa diri.

“Indera sihat?” soal Pak Hamid.

Inderawan segera bersalaman dengan pemandu ayahnya itu.

“Alhamdulillah Pak Hamid. Pak Hamid sihat?”

Pak Hamid hanya mengangguk.

“Ayahanda suruh Pak Hamid jemput Nine ke?”
“Dato’ Mahmood tahu yang hari ni Nine balik.”

Inderawan mendiamkan diri. Ada sesuatu yang hadir ke dalam hatinya sebaik sahaja bayangan wajah itu menjelma di mindanya.

“Raudhah, Shaq, dengan Que macam mana? Tok Ayahanda sihat?”
“Adik-adik Indera sihat. Kesihatan Dato’ Mansoor macam tulah juga. Sihat orang tua. Angin sakit tu datang macam ribut tapi nak sihat tu macam langkah semut. Kadang-kadang Dato’ Mansoor ada menyebut nama Indera. Dia rindu dengan cucu sulungnya.”

Sekali lagi Inderawan membisu. Sedih dan pilu menusuk ke jiwanya. Fikirannya kembali semula mengulang tayang peristiwa setahun yang lalu.


Zulqarnain tersenyum lebar sebaik sahaja melihat susuk tubuh itu dari jauh. Dia cuba melambai namun kedua-dua insan itu seperti tidak menyedari kehadirannya. Zulqarnain menggelengkan kepala lalu melangkah yakin sambil menolak troli berisi bagasinya ke arah Inderawan. Penerbangan daripada Milan Malpensa Airport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lalu ke Lapangan Terbang Senai benar-benar membuatkan dirinya letih.

“Ehem.”

Zulqarnain berdehem kecil sebaik sahaja tiba di sisi Inderawan yang masih lagi seperti orang berkhayal memikirkan sesuatu. Inderawan terkejut lalu menoleh ke arah kirinya. Begitu juga dengan Pak Hamid. Zulqarnain menanggalkan kaca mata hitamnya. Rambut perang pekat semulajadi tersisir kemas. Kulitnya kelihatan lebih cerah berbanding sebelum ini. Haruman minyak wangi Attitude Giorgio Armani hinggap ke deria bau Inderawan. Zulqarnain semakin bijak dalam penampilannya.

“Accogliere in casa, Jebat Zulqarnain,” ucap Inderawan yang membawa maksud selamat pulang.
“Grazie, mio fratello maggiore. (Terima kasih, wahai abangku),” balas Zulqarnain.
“Come stai? (Apa khabar?)” soal Inderawan.
“Per favore (tolonglah), my big brother. Dah balik Malaysia pun kena cakap Italy ke?”
“Manalah tahu. Lidah Melayu dah biasa jadi mat saleh Italian.”

Zulqarnain tersenyum lebar. Begitu juga dengan Inderawan. Perasaan rindu terhadap adiknya tidak dapat lagi dibendung. Mereka segera berpelukan.

“I miss you badly. Kenapa abang tak nak datang Milan jenguk Nine? Milan is also your second home, right?” tanya Zulqarnain sebaik dakapan mereka terlerai.

Kata-kata Zulqarnain ada benarnya. Milan, Italy umpama rumah keduanya. Dia juga pernah melanjutkan pelajaran di dalam bidang hiasan dalaman di sana. Italy juga merupakan kota yang penuh dengan kesenian, sesuai dengan jiwanya. Inderawan hanya membiarkan soalan Zulqarnain itu tanpa sebarang jawapan sebaik sahaja melihat Zulqarnain bertegur sapa dengan Pak Hamid.

“Apa khabar Pak Hamid? Wah, makin kacak bergaya Nine tengok Pak Hamid sekarang. Dah jumpa pengganti ke?” gurau Zulqarnain.

Pak Hamid ketawa besar apabila mendengar usikan Zulqarnain. Begitulah perbezaan mereka berdua. Seorang agak pendiam dan seorang lagi banyak telatahnya. Pak Hamid sudah lama menduda sejak kematian isterinya lima tahun yang dahulu.

“Pak Hamid memang kacak bergaya sejak dari dulu lagi. Nine aje yang tak perasan. Kamu ni Nine tak sudah-sudah dengan gurau kamu tu. Dah 3 tahun kat Italy pun masih tak berubah. ”
“Pak Hamid ni boleh tahan juga ya. Makin lama makin berisi,” sakat Nine lagi.

Pak Hamid hanya menggelengkan kepala sambil tesenyum.

“Kenapalah ayahanda susah payah suruh Pak Hamid ambil Nine? Kan Nine dah cakap dengan ayahanda nak abang Indera yang jemput Nine. Ayahanda tak cakap dengan Pak Hamid ke?” ujar Nine lagi.

Wajah Pak Hamid sedikit berubah lalu pandangannya beralih kepada Inderwan. Reaksi Inderawan juga berbeza.

“Pak Hamid tak tahu pula. Tapi ini arahan Dato’ Mahmood. Dia suruh Pak Hamid jemput Nine.”
“Tak apalah kalau macam tu. Cakap dengan ayahanda, Nine nak ikut abang Indera.”
“Abang rasa lebih baik Nine ikut Pak Hamid. Lagipun abang sibuk sikit hari ni.”

Inderawan cuba memberi alasan konkrit.

“Come on, abang. Hari ni baru Nine jejakkan kaki ke Malaysia. Nine rasa ayahanda tak kisah kalau Nine ikut abang. Sama ajekan? Sampai rumah juga nanti kan? Lagipun Taming Sari Berhad tak akan jatuh muflis kalau abang Indera tak masuk pejabat satu hari.”

Inderawan menjadi resah. Bukan itu menjadi masalahnya. Dia tahu, dia tidak mampu menyembunyikan hal itu lebih lama. Lambat laun, adiknya itu akan tahu juga.

“One more thing……orang nak pergi pejabat, tak kanlah pakai baju macam ni kan?”

Mata Zulqarnain memandang penampilan Inderawan yang begitu santai. Inderawan hanya mengenakan baju kemeja T lengan panjang berwrna hitam dan seluar jeans biru lusuh Masakan pakaian sebegitu sesuai dipakai untuk ke pejabat.

“Pak Hamid, tak apalah. Biar Nine dengan saya.”
“Indera pasti ke?”
“Saya pasti Pak Hamid.”
“Pak Hamid janganlah risau. Saya yang akan tanggung semuanya.”

Pak Hamid mengangguk mengerti

“Kenapa abang dengan Pak Hamid ni? Macam ada buat salah aje dengan ayahanda. Ada yang tak kena ke?” soal Zulqarnain setelah membaca riak wajah kedua-dua lelaki di hadapannya itu.
“Tak ada apa-apalah Nine. Kalau tak ada apa-apa, Pak Hamid beredar dulu.”
“Yalah. Nanti kita jumpa kat rumah ya,” ujar Zulqarnain lalu mengenakan cermin mata hitamnya.

Pak Hamid hanya mampu tersenyum lalu melangkah pergi meninggalkan mereka. Inderawan mengerti dengan bahasa tubuh pemandu ayahnya itu. Dia juga merasakan Pak Hamid begitu bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Zulqarnain mencapai pemegang troli bagasinya. Belum sempat dia menolak, ada sesuatu seperti sedang bertembung dengan trolinya. Troli milik gadis itu melanggar troli miliknya yang masih lagi tidak bergerak.

“Apa ni? Tak nampak ke? Buta?” tempik gadis itu kepada Zulqarnain.

Sekali lagi Zulqarnain menanggalkan cermin matanya. Terkejut dengan tindakan perempuan di hadapannya. Sudah terang lagi bersuluh gadis itu bersalah. Kerana terburu-buru mencari sesuatu di beg tangannya, dia bertembung dengan troli Zulqarnain. Inderawan keliru dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh gadis yang sedang menyinga itu. Dia juga jelas dengan apa yang berlaku. Belum sempat Zulqarnain mahu meninggikan suaranya, matanya terlebih dahulu menangkap raut wajah gadis berambut perang itu. Rambutnya yang ikal di hujung, sesuai dengan warna kulitnya yang berwarna cerah itu.

Gadis itu mahu mengambil semula begnya yang telah terjatuh namun tangan Zulqarnain segera menahan. Dia tersentak dengan tindakan Zulqarnain itu.

“Orang yang secantik awak ni tak sepatutnya angkat benda yang berat-berat ni,” ujar Zulqarnain.

Inderawan tersenyum melihat tindak tanduk adiknya.
Benda berat? Setakat beg tangan tu kira berat ke? Kalau berat, macam mana perempuan ni boleh bawa ke hulur ke hilir? Nine…Nine..Perangai itu tidak berubah. Hati Inderawan bermonolog sendiri.

Pantang melihat gadis berdahi licin sedikit, pasti ayat manis akan keluar daripada bibir Zulqarnain. Inderawan sempat memerhatikan gadis itu. Memang hatinya mengakui gadis itu dikategorikan sebagai seorang gadis yang menawan. Tetapi sayang, penampilan gadis itu sudah hilang sifat melayunya. Gadis itu mengenakan kemeja berlengan pendek mengikut potongan badan dan menampakkan sedikit bahagian dadanya. Kemeja berwarna putih itu dikenakan dengan skirt biru pekat paras lutut.

“Lain kali jalan guna kaki, tengok dengan mata. Kalau tak, troli saya dengan awak tak berlanggar macam ni.”
“Biasanya, perempuan akan jadi tak beberapa nak nampak keadaan sekeliling kalau bertembung dengan saya. Saya rasa awak yang dah langgar saya tadi.”
“Saya tak ada masa nak layan orang macam awak ni.”

Tangan itu laju sahaja mencapai begnya yang berada di tangan Zulqarnain lalu di letakkan di atas troli.

“Tak ada masa? Bukannya dah dekat 2 minit awak luangkan masa untuk saya. Apa kata kita jadikan 2 minit tu kepada 20 minit. Ataupun saya rasa lebih baik 2 jam? Why not we have some coffee?

Gadis itu melemparkan reaksi yang sinis sebaik sahaja mendengar pelawaan Zulqarnain. Dia perlu bergegas menyelesaikan urusannya. Lantas, dia meninggalkan Zulqarnain di situ. Laju sahaja kakinya melangkah. Pandangan Zulqarnain seperti tidak mahu melepaskan gadis itu.

“Dah habis tengok?” soal Inderawan.

Zulqarnain membalas dengan menampakkan barisan giginya yang putih.

“Tersengih-sengih. Perangai tak berubah.”
“Come on my big brother. Sememangnya perempuan diciptakan untuk lelaki. Sejak azali lagi perempuan itu menarik perasaan dan naluri lelaki.”
“Yalah. Nine tu semua perempuan menarik. Abang rasa, kat Italy tu entah berapa ramai yang jadi senarai menarik perhatian Nine kan?”
“Abang, Nine ni tak jumpa lagi yang betul-betul menusuk ke kalbu. Sebab tulah Nine terus mencari ni. Perempuan yang menarik mata lelaki ni memang ramai, tapi yang menarik kat hati ni payah nak cari.”
“Yalah tu. Bukannya Nine tu dari dulu lagi memang macam ni ke?”
“Ish abang ni. Mana ada. Ha…apa kata Nine carikan untuk abang seorang. Nak? Ke abang dah ada calon ni?”

Tersentak seketika Inderawan dibuatnya tatkala mendengar tutur kata Zulqarnain. Dia tidak menjawab, sebaliknya kakinya melangkah mahu menuju ke tempat letak kereta. Terkebil-kebil mata Zulqarnain dibuatnya melihat reaksi abangnya itu. Pelik.

--------------------------------

Langkah Inderawan terhenti sebaik sahaja tiba di tempat letak keretanya. Zulqarnain yang berada di hadapan menonong berjalan tanpa menyedari tindakan Inderawan.

“Nine, nak pergi mana tu?”

Zulqarnain menoleh sambil wajahnya memancarkan keyakinan yang dia mahu meneruskan langkahnya.

“Nak pergi tempat letak kereta abang lah. Nak pergi mana lagi.”
“Kita dah sampai dah pun. Ni kereta abang.”

Mata Inderawan menghalakan ke kirinya. Berkerut dahi Zulqarnain memerhatikan kenderaan tersebut.

“Kereta Kenari? Abang Indera, janganlah nak buat kelakar. Langsung tak kelakar tau.”
“Buat apa abang nak buat kelakar. Abang dapat apa?”
“Kakandaku Inderawan.....your car is BMW 3 Series Convertible E93 with Roof Folding Mechanism.  

 Jauh sangat bezanya dengan Kenari. Ingat Nine budak-budak ke? Kereta Kenari ni macam mana nak kasi lipat bumbung?”

“Sekarang dah tak lagi.”

Zulqarnain mahu meneruskan langkahnya namun terhenti sebaik sahaja mendengar kata-kata Inderawan.

“What do you mean by sekarang dah tak lagi?”
“Abang betul-betul dah tak pakai kereta tu lagi.”
“Kalau dah tak pakai BMW, abang pakai apa? Volkswagen? Ferrari? Audi?”

Inderawan menggeleng. Jari telunjuknya menghala ke kiri.
Zulqarnain segera menggelengkan kepalanya. Masakan abangnya itu menaiki kereta itu.

“Abang…..what is going on here?”

Inderawan menunjukkan kunci lalu menekan punat yang berada di kunci tersebut.