Stylo Clique ^_^

Sunday, September 16, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 29 ::.






BAB 29


Wafi menyandarkan kepalanya di kerusi kereta. Nafas Wafi turun naik, sedang menahan amarahnya. Dia tidak percaya dengan apa yang didengari oleh telinganya dari bibir Haikal.
A.D pernah melakukan perkara itu dengan Haikal? Tidak mungkin.

Jiwa Wafi meronta dan memberontak. Tetapi apabila memikirkan semula segala tindak-tanduk A.D selama ini, Wafi merasakan ada benarnya kata-kata Haikal. Itukah rahsia yang cuba disembunyikan A.D selama ini? Adakah itu penyebabnya A.D berkata begitu?

“Kau tak layak ambil berat pasal aku sebab kau tak tahu siapa aku. Semua orang dalam dunia ni tak akan boleh terima diri aku. Aku minta sangat-sangat kau jauhkan diri kau daripada aku.”

Tutur kata yang diucapkan A.D ketika di air terjun tempoh hari bergema semula ke fikirannya. Dia semakin keliru. Wafi sendiri tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Benarkah apa yang dikatakan Haikal petang tadi?  

Motorsikal A.D berada di situ. Dia pasti A.D sudah pulang. Dia perlu mendapatkan kepastian daripada bibir A.D sendiri. Sudah puas dia menganalisa semula kata-kata Haikal. Dia cuba untuk menidakkan apa yang didengarinya tetapi semakin dia menafikan semakin kuat keyakinannya mengatakan yang A.D telah melakukan perkara sumbang itu.


--------------------


Wafi terkejut apabila melihat Nadhira sudah berada di hadapannya.

“Hai sayang, hai Rafiq,” ucap Nadhira.
“Awak buat apa kat sini?”
“Dhira nak temankan Wafi la. Bukannya Wafi nak main ragbi ke kejap lagi? Kalau Wafi nak minum air, Dhira boleh tolong kasi.”
“Macam mana awak tahu saya ada kat sini?”

Tiba-tiba sahaja Wafi merasakan soalan itu terlalu bodoh untuk diajukan. Sudah semestinya Haikal yang memberitahu Nadhira.

“Haikal yang beritahu Dhira. Wafi kan sibuk. Dhira faham.”
“Wafi, orang yang kau cakap akan main ragbi dengan kita petang ni Haikal ke?” soal Rafiq.
“Haikal. Aku ada jumpa dia hari tu. Dia ada cakap, kalau kita nak turun padang beritahu dia. Tapi aku rasa aku dah buat silap sebab ajak dia.”

Rafiq hanya mampu mendiamkan diri. Wafi sendiri merasakan dirinya begitu lalai. Seboleh mungkin dia mahu mengelak daripada berjumpa dengan Nadhira. Wafi perlu memberitahu segala-galanya kepada Haikal untuk mengelakkan salah faham di antara mereka terus berlaku.

“Mana Haikal?”
 “Kenapa ni?”
Where is Haikal?” soal Wafi lagi. Nada suara Wafi sudah meninggi.
“Kenapa nak tanya pasal Haikal? Tak suka Dhira datang sini temankan Wafi ke?”
I said, where is Haikal…?!!” jerit Wafi.

Nadhira terkejut apabila melihat wajah Wafi sudah menyinga. Sebelum ini dia tidak pernah melihat Wafi memarahinya sebegitu rupa.

“Haikal ada kat tempat letak kereta.”

Wafi segera melihat ke arah yang dikatakan oleh Nadhira. Wafi terkejut apabila melihat Haikal sedang berbual dengan A.D. Daripada gaya mereka berbual, Wafi dapat mengagak yang Haikal dan A.D saling mengenali. 

Rafiq juga memandang ke arah itu. Dia juga menjadi bingung dengan apa yang telah berlaku. Nadhira juga melihat perkara yang sama seperti Wafi dan Rafiq. Serta-merta dia mendapat akal untuk mengambil peluang yang telah terbentang di depan mata. Dia tidak mahu melepaskan kesempatan yang ada. Dia juga terkejut apabila melihat Haikal seolah-olah mengenali A.D.

See, you can see with your own eyes. A.D with Haikal. Perempuan macam A.D tu memang tak ada perasaan kat Wafi. Dahlah tomboi, perangai macam jantan tapi sibuk nak menggatal dengan Haikal. Wafi, perempuan macam tu ke yang menjadi idaman Wafi selama ni? Perempuan tu macam tak ada maruah.”

Ibarat menyiram minyak ke api yang sedang marak, Nadhira sengaja mahu membuatkan baran Wafi semakin membara. Kaki Wafi tidak mampu untuk menahan dirinya daripada menuju ke kawasan tempat letak kenderaan itu. Kata-kata Nadhira berjaya mempengaruhi dirinya yang sudah hampir hilang pertimbangan. Sebaik sahaja semakin menghampiri mereka, A.D sudah pun memecut dengan motosikalnya.

“Wafi, apasal kau pergi sini? Nak sambut kedatangan aku ke? Dhira kan ada kat padang sana?”
“Kenapa kau bawa Dhira?”
“Apasal? Tak boleh ke? Aku nak tolong kau. Kau kan sibuk memanjang. Yalah, C.E.O Bina Kurnia kata kan. Jadi, sementara kau ada masa untuk main ragbi ni tak salah rasanya aku ajak Dhira. Betul tak? Kau sepatutnya berterima kasih kat aku.”
“Kau tak faham dengan keadaan aku dan Dhira sekarang. Apa yang kau fikir tak sama dengan apa yang dah jadi.”
“Kau ni, Dhira kan memang manja sikit. Kena sabarlah.”
Wafi sudah muak dengan masalahnya dengan Nadhira. Seharusnya masalah itu sudah selesai dari dulu lagi. Tetapi Nadhira yang menjadikan situasi mereka menjadi rumit dan menyebabkan timbulnya salah faham oleh pihak lain.

“Tadi kau cakap dengan siapa?”
“Siapa? Minah motor tadi tu?”
“Yalah, kau kenal dia ke?”
“Riana? Kenal sangat, bukan setakat kenal tapi lebih daripada tu. Aku pun tak sangka boleh jumpa dia kat sini. Dah banyak berubah minah tu.”

Wajah Wafi berubah. Dia terkejut apabila Haikal menyebut nama itu. Wafi mengenali A.D terlebih dahulu, dan kemudiannya baru telinganya mendengar nama itu. Tetapi tidak pada Haikal. Haikal mengenali Riana. Itu bermakna, Haikal terlebih dahulu mengenali gadis itu daripada dirinya.

“Apasal kau tanya? Kau kenal ke minah tu?”
“Macam mana kau boleh kenal Riana?”
“Kalau kau nak tahu, minah tu salah seorang bekas aku la. Antara perempuan yang pernah ada dalam senarai kasanova aku.”

Lidah Wafi menjadi kelu. Dia membiarkan sahaja Haikal berbicara.

“Sebelum aku pergi London 3 tahun dulu, aku kenal dia kat club. Perrgghh…masa tu dia cantik. Aku pun geram la tengok. Aku pun cubalah kasi ayat. Kau tahulah orang macam aku ni senang aje nak dapat perempuan macam Riana tu.”
“Maknanya Riana pernah jadi bahan mainan kau la? Kau pernah main-mainkan perasaan dia?”
Come on, Wafi. Kau pun tahu kan siapa aku sejak hari pertama kau kenal aku lagi. Aku mana pernah serius.”
“Kau kenal Riana setakat tu ajelah?”
“Bukan setakat kenal, tapi seluruh badan dia aku dah kenal.”

Tanpa ada rasa bersalah dan segan silunya Haikal memberitahu Wafi. Haikal sudah tidak kisah dengan semua itu. Kehidupan di London yang penuh dengan kebebasan menyebabkan dia merasa bangga melakukan hal itu. Jantung Wafi bagai direntap keluar. Hatinya juga terasa seperti disentap.

“Maksud kau?” soal Wafi, dia masih lagi cuba berlagak tenang.
“Perempuan macam Riana tu bukan sorang aje aku kenal. Senang kena tipu. Aku cakap sikit, dah cair. Kau faham-faham sendirilah. Aku tak paksa dia pun. Siapa suruh dia terpedaya dengan apa yang aku cakap, kan? Itu bezanya perempuan kat Malaysia dengan London. Perempuan Malaysia kena kasi ayat lebih. Terpaksa tunggu 2, 3 bulan baru boleh dapat. Tapi kalau kat London, satu malam pun dah boleh.”

Akhirnya, rahsia itu terbongkar. Perkara itulah yang cuba disembunyikan oleh A.D selama ini.

“Macam mana kau boleh tinggalkan dia?”
“Kau bayangkanlah, aku baru aje tidur dengan dia sekali. Tak lama lepas tu, dia datang jumpa aku. Ada ke patut dia cakap dia tengah mengandungkan anak aku. Tolonglah. Riana tu kaki clubbing. Entah jantan mana dia tidur, nak cakap budak dalam perut dia tu anak aku. Memang dah kebetulan, aku sambung belajar kat London. Lepas tu aku dah tak tahu apa cerita pasal dia sampailah hari ni. Tapi aku tak akan lupa dengan dia sebab dia pernah cakap dia mengandungkan benih aku. Come on la. Baru cuit sekali, senang betul dah mengandung. Tak sangka pula aku sekarang ni dia dah berubah sampai macam tu sekali.”

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Wafi memberikan hadiah tumbukan ke mulut Haikal. Tanpa rasa sekelumit perasaan bersalah ketika menceritakan hal itu.

“Kenapa kau tanya lebih-lebih pasal perempuan tu? Kau dah berkenan ke?” soal Haikal dalam nada bergurau. 

Mustahil bagi diri Haikal untuk Wafi jatuh cinta terhadap gadis kasar.

Wafi hanya mampu membisu.

“Eh, janganlah buat muka serius sangat. Aku main-main ajelah. Aku tahu kau tak akan suka dengan perempuan macam Riana tu. Cita rasa kau kan macam sepupu aku tu.” ucap Haikal sebaik sahaja melihat wajah Wafi tidak memberikan sebarang reaksi terhadap gurauannya.

Wafi berpaling daripada Haikal lalu melangkah menuju ke padang. Dia tidak mampu untuk menerima kata-kata Haikal. Dia tidak percaya A.D pernah melakukan perkara sumbang itu. Wafi mengambil beg galasnya lalu segera beredar meninggalkan tempat tersebut.

“Sayang…..nak pergi mana ni?” tanya Nadhira.

Wafi membiarkan sahaja pertanyaan Nadhira.

“Wafi, kau nak pergi mana? Tak nak main ke?” soal Rafiq.

Pelik benar dengan tindak-tanduk Wafi. Tiba-tiba sahaja perangainya berubah. Rafiq tidak menyangka sehingga ke tahap itu marah Wafi terhadap Nadhira. Walhal, emosi Wafi jadi begitu kerana Haikal.

--------------------


Wafi merenung tajam ke arah A.D yang berada di hadapannya. Suara Wafi bergema ke serata ruang tamu vila itu. Mak Som dan Pak Aziz tiada kerana pulang ke kampung. Hanya tinggal mereka berdua sahaja. Soalan Wafi dibalas dengan linangan air mata A.D. Sejarah hitam itu sudah pun terbuka dengan luasnya.

“Saya tanya, betul ke tidak awak kenal dengan Haikal? Saya nampak awak dengan dia berbual tadi.”
“Saya kenal dia.”
“Jadi betullah awak pernah terlanjur dengan dia? Betullah awak buat semua tu dengan rela?”

A.D tidak sanggup untuk mengiyakan kesemua kenyataan itu. Dia hanya mampu membisu.

“Kenapa awak diam? Sampai hati awak tipu saya, A.D.”
“Saya tak pernah tipu awak.”
“Kalau awak tak pernah tipu saya, kenapa saya dengar benda ni daripada mulut orang lain? Nasib baik saya kenal Haikal tu sebab dia sepupu Nadhira. Kalau tidak, seumur hidup saya awak rahsiakan perkara ni. Saya tak sangka awak jenis perempuan yang macam tu.”
“Awak nak saya cakap apa dengan awak? Saya tahu memang itu semua dosa saya. Dosa saya terlalu besar untuk saya tanggung.”
“Kalau dah tahu tu dosa, kenapa awak masih buat?”
“Saya terlalu mentah. Saya percayakan Haikal masa tu. Saya percaya yang dia tidak akan tinggalkan saya. Dia dah janji. Kalau saya boleh patah balik masa, saya tak akan buat benda terkutuk tu.”
“Terlalu mentah? Kenapa tak nak cakap awak dah hanyut dengan nafsu sendiri?”
“Memang salah saya. Saya buta dengan kasih sayang palsu Haikal. Haikal ambil berat dan prihatin dengan saya semasa saya memerlukan seseorang. Awak tak akan faham perasaan saya.”
“Tak salah tanggapan pertama aku terhadap kau. Memang buta kalau aku suka dengan kau apatah lagi jatuh cinta dengan perempuan yang dah terlanjur. Mana harga diri kau masa tu? Dah tak tahu halal dengan haram? Kau bukan setakat dah terlanjur, malah mengandungkan anak dia, betul kan?”

A.D tidak mampu bersuara. Rahsia yang cuba dipendam selama ini, akhirnya terbongkar jua. Bukan niatnya untuk berahsia tetapi dia tidak kuat untuk berhadapan dengan kenyataannya sendiri.

“Betul ke tidak? Ke anak yang kau kandung tu dulu anak orang lain? Tak mustahil kau boleh mengandungkan anak orang lain sedangkan dengan rela hati kau serahkan maruah kau pada Haikal. Jadi, tak mustahil kan? Apa lagi kau sembunyikan daripada aku?”

Wafi seperti manusia yang sudah hilang pedoman. Sabarnya entah hilang ke mana. Benci dan jijik memandang gadis itu. Sejauh itu dia menuduh A.D. Dia seperti sudah dirasuk dengan hasutan syaitan.

“Itu memang benih Haikal. Saya tidak akan melakukan kesilapan itu. Awak ingat maruah saya ni serendah itu ke?”
“Memang. Kalau tidak, kau tak akan buat perkara terkutuk tu. Kalau betul tu benih Haikal, mana anak tu sekarang? Mana..?!!” jerit Wafi.
“Saya dah cakap dengan awak dulu. Jauhkan diri awak daripada saya sebab saya tahu awak akan kecewa.”
“Kau tak jawab lagi soalan aku. Mana anak tu? Ooohh…aku tahu, perempuan macam kau pasti nak tutup kesalahan sendiri kan? Mesti kau dah gugurkan kandungan tu, betul tak?”

Manik jernih semakin bertakung lalu mengalir dengan lajunya. Begitu tegar Wafi menuduhnya sebegitu.

“Dahlah terlanjur, lepas tu kau mengandungkan anak lelaki tak guna tu kemudian kau gugurkan kandungan kau. Betul kan? Sebab tu kau diam. Kau ingat aku boleh tertipu dengan air mata kau ni?”
“Awak tuduh saya gugurkan kandungan tu? Awak ingat saya ni kejam sangat ke? Biar diri saya dihimpit dengan dosa sebab terlanjur tapi saya tak akan buat dosa membunuh tu. Saya tahu, tak akan ada seorang lelaki pun dalam dunia ni boleh terima saya. Sebab tu Riana dah mati dalam hidup saya. Saya cuba bina hidup saya sendiri. Saya cuba cari diri saya yang baru. Apa yang awak nampak, inilah saya. Saya memang sengaja biarkan A.D wujud. Biar tak ada satu lelaki pun akan dekati saya dan saya tidak akan jatuh cinta dengan siapa-siapa.”
“Kau ingat dengan jadi orang lain tu boleh kau lari? A.D tetap jadi Riana.”
“Saya tahu. Sebab tu saya hidup sebagai A.D selama 3 tahun ni. Sekurang-kurangnya saya cuba untuk hidup semula. Tapi semuanya dah berubah. Awak yang menyebabkan kisah dongeng Riana muncul. Setiap malam papa ceritakan saya cerita dongeng yang mana seorang puteri akan hidup bahagia bersama putera idamannya. Riana itu dah mati. Tapi, sejak awak muncul, awak dah hidupkan Riana semula. Awak ingat saya minta semua ni? Riana pernah buat silap besar dalam hidup dia. Saya tak nak awak tahu siapa Riana sebab tak nak awak kecewa.”
“Aku tak tahu apa yang kau dah buat kat aku sampai aku boleh ada rasa sayang terhadap kau. Sakit rasanya hati aku ni bila aku tahu siapa kau sebenarnya. Memang tak salah perasaan aku kat kau waktu mula-mula dulu aku kenal siapa kau. Aku memang buta kalau aku jatuh cinta dengan kau. Dan aku akan pastikan perasaan aku yang dulu tu akan wujud semula. Lebih baik kalau aku tak pernah kenal kau. Aku tak nak ada pembunuh dalam hidup aku.” 

Sekali lagi Wafi melontarkan ayat berbisa itu. Wafi melemparkan kata-kata itu dengan pandangan yang penuh dengan kebencian. Dia tidak tahu yang dirinya marah untuk siapa. Sama ada kerana A.D, Riana, Haikal mahupun dirinya. Wafi segera melangkah menuju ke kamarnya. Jika dibiarkan lebih lama, pasti dia tidak sanggup untuk menghadapi kenyataan itu. Dia tidak mampu untuk menerima dosa semalam gadis itu. Dia sudah jatuh hati dengan A.D, tapi mengapa sekarang perkara itu diketahuinya? Mengapa tidak dulu? Agar kebencian yang pernah terbit saat itu terus tertanam dijiwanya


Friday, September 7, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 28 ::.







BAB 28

Matanya meliar ke sekeliling kawasan rumah. Dia mencari lelaki itu. Setelah puas memikirkan kata-kata teman yang sudah dianggap seperti darah daging sendiri, A.D merasakan ada benarnya. Dia harus memilih untuk berhenti berlari. Dia sendiri sudah penat menafikan apa yang telah tersurat. Akhirnya, dia melihat susuk tubuh sasa itu di ruangan kegemaran ayahnya. Perlahan-lahan dia melangkah keluar.

“Awak buat apa kat sini?” soal A.D.

Wafi menoleh apabila telinganya mendengar suara A.D.

“Saja ambil angin. Tekanan kat pejabat tu hilang kalau saya kat sini.”
“Patutlah papa suka pergi kat laman ni. Agaknya dia pun macam awak juga.”

Wafi tersenyum.

“Awak, terima kasih sebab tolong saya uruskan Bina Kurnia. Kalau awak tak ada, saya sendiri tak tahu macam mana saya nak uruskan harta peninggalan papa yang berharga tu. Saya tahu Bina Kurnia sangat bermakna bagi papa.”
“Itu dah menjadi tanggungjawab saya. Memang Bina Kurnia adalah harta papa yang paling bermakna, tapi awak adalah harta papa yang tidak ternilai. Awak satu-satunya anugerah yang paling berharga dalam hidup papa. Dan itu yang membuatkan saya adalah orang yang sangat bertuah kerana…………..”
“Kerana apa?”
“Saya orang yang sangat bertuah kerana dapat berada di sisi awak.”

A.D hanya mampu memandang wajah Wafi. Kini, apa sahaja yang keluar dari bibir itu mampu membuatkan perasaan A.D menjadi tidak menentu.

“Saya yang sebenarnya bertuah sebab berada di sisi awak sedangkan saya ni penuh dengan kekurangan.”
“Kalau awak rasa macam tu, saya lebih jauh daripada tu. Saya yang pada mulanya hina awak. Saya tak boleh terima kehadiran awak setiap kali saya nampak awak. Saya cakap tak mungkin saya akan sukakan awak apatah lagi mahu jadikan awak sebagai isteri saya.”

Saya sememangnya hina. Saya sendiri tidak boleh menerima kehadiran diri saya. Memang tak salah apa yang awak rasa, Wafi.

Suara hati A.D berbisik. Tidak sepatutnya perasaan Wafi berubah terhadap dirinya. Dan begitu juga dengan perasaannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah dia lakukan sehingga Wafi berubah. Selama sebumbung dengan Wafi, dia menjadi dirinya sebenar. Langsung tidak berniat mahu berkongsi perasaan yang sama dengan lelaki itu.

“Memang patut awak rasa macam tu.”
“Tapi itu dulu.”
“Macam mana kalau saya cakap awak patut teruskan apa yang awak rasa pada awalnya dulu? Saya tak sama macam gadis yang lain.”
“Tapi saya suka sesuatu yang lain.”
“Saya tahu awak tak akan boleh terima saya.”
“Kenapa? Sebab awak naik superbike? Sebab penampilan dan gaya awak macam lelaki?”
“Awak, sebenarnya saya………..”

Tatkala A.D sudah bersedia unuk meluahkan segala-galanya, tiba-tiba telefon bimbit Wafi berbunyi.

“Awak, sekejap.”

Wafi segera menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Tertera nama Wadi di skrin.Wafi menyambut panggilan itu. A.D berpaling daripada Wafi. Dia cuba untuk mengumpulkan kekuatan yang ada. Dia tahu Wafi akan kecewa tetapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk bersemuka dengan realiti. Sudah tiba waktunya untuk A.D belajar menerima kesan masa silamnya. Jika dia terus berlari, sampai bila-bila pun perasaan bersalah dan marah terhadap diri sendiri tidak akan lenyap. Dia harus berlaku jujur.

“Awak,” panggil Wafi.

A.D seperti mengelamun.

“Awak,” panggil Wafi lagi.

A.D menoleh.

“Wadi telefon saya. Dia baru ambil keputusan SPM siang tadi. Dia dapat semua A.”
“Alhamdulillah,” ucap A.D
“Alhamdulillah dia dah tolong capaikan impian saya. Saya memang nak dia berjaya. Kami memang nak nenek bahagia. Inilah hadiah yang mampu saya dan Wadi berikan untuk nenek atas segala pengorbanan yang dia telah lakukan untuk membesarkan kami.”

Wajah Wafi jelas menunjukkan dia gembira. A.D merasa bahagia melihat Wafi tersenyum. Dia sendiri tidak menyangka, melihat senyuman orang yang kita sayang mampu membuatkan kita bahagia.

“Awak nak cakap apa tadi?”
“Tak ada apa-apa. Saya pun lupa nak cakap apa.” balas A.D.

Tidak tegar rasanya untuk merosakkan perasaan gembira Wafi. Dia sendiri tidak sanggup melihat wajah itu kecewa kerana dirinya. A.D sendiri tidak mampu membayangkan keadaan Wafi jika dia mengetahui kisah hidup Riana. Atau lebih tepat lagi, A.D belum bersedia untuk melepaskan kebahagiaan sementara yang dikecapinya kini. Bagaimana kalau Wafi membuang A.D seperti sampah, sebagaimana Haikal lakukan terhadap Riana? Tidak sanggup A.D membayangkan perkara itu.

---------------------

Wafi segera meletakkan beg sandangnya di bangku panjang berhampiran dengan padang. Dia sempat memandang jam tangannya. Rafiq juga melakukan perkara yang sama lalu duduk di bangku itu.

“Apasal tengok jam?”
“Kenapa? Tak normal ke aku tengok jam?”
“Tengok jam tu memanglah normal tapi kau tu yang tak normal. Dari tadi aku tengok kau tersengih-sengih. Sanggup tinggalkan kerja kat pejabat tu bila Malik ajak main ragbi kat sini eh? Kau ingat aku tak tahu ke kenapa? Macam tak boleh jumpa pula kat rumah kan?”
“Kau jangan nak merepek ya Encik Rafiq. Kebetulan hari ni P.A aku cakap appointment aku petang ni batal. Aku pun dah lama tak pegang bola ragbi.”
“Kau nak tipu aku ke Encik Wafi? Kau memang tengah bahagia kan?”
“Banyak benda baik berlaku dalam hidup aku. Adik aku, si Wadi tu dapat keputusan baik untuk SPM dia. Mestilah aku gembira. Sementara benda baik berlaku ni, aku nikmatilah. Esok-esok kita tak tahu nasib kita.”
“Satu lagi sebab A.D kan?”

Wafi hanya tersenyum.

“Senyum kau tu dah bagi aku jawapan. Eh, kau cakap dengan aku tadi ada seorang lagi nak main kita. Siapa?”
“Adalah. Kejap lagi dia sampai.”

A.D, Samsul dan Izwanie melangkah keluar daripada perpustakaan. Kebetulan kedudukan perpustakaan tidak jauh daripada padang ragbi. A.D mahu menuju ke tempat letak kenderaan. Tetapi dia merasakan ada seseorang sedang memerhatikannya dari jauh.
"Eh, A.D…..tu Wafi kan?” tanya Izwanie.
“Ha’ah la. Wah…..tak sangka romantik betul mamat sengal ni kan? Kat rumah dah jumpa, kat sini pun masih nak jumpa lagi?” usik Samsul.
“Kalau satu hari mulut kau orang tak jadi gear automatik memang tak boleh kan? Kau tak nampak dia kat padang tu? Dia kan nak main ragbi. Bukannya kau orang tak tahukan yang dulu dia wakil universiti kita?”
“Memanglah. Tapi kalau mata dia macam nak terjojol tengok kau kat sini tu, apa maknanya? Eh, jomlah kita pergi kat suami kau tu. Aku nak tengok juga dari dekat kawan baik dia tu,” ajak Izwanie.
“Yalah A.D. Kau ni tak baik tau kedekut, bahagia sorang-sorang.”

A.D menggelengkan kepala tetapi kakinya menurut kehendak mereka berdua. Mereka bertiga menuju ke arah Wafi dan Rafiq.

“Lambat awak balik hari ni,” soal Wafi sebaik sahaja A.D berada di hadapannya.
“Saya ada study group dengan Wanie dan Sam. Dah nak final exam kan? Awak juga yang suruh saya tumpukan perhatian sepenuhnya dengan pengajian saya.”
“Awak dah makan?”
“Dah. Awak nak main ragbi ke kejap lagi?”
“Ha’ah. Malik, kapten pasukan kita orang dulu sekarang dia dah jadi jurulatih. Saja aje, dah lama tak main ragbi.”
“Ehem…ehem..amboi, mesra sungguh sampai tak ingat ada orang kat sekeliling. Ingat kita orang ni palang tiang gol ke?” tegur Samsul.

Wafi menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri sudah asyik dengan perasaannya.

“Ni kawan saya, Rafiq.”
“Hai.” ucap Rafiq.

A.D tersenyum.

“Ni kawan saya, Samsul dengan Izwanie. Dia orang berdua ni kawan baik saya.”
“Hai. Saya banyak kali nampak awak berdua. Kadang-kadang kita pernah satu kelas kuliah kan? Satu lagi masa majlis pernikahan A.D dengan Wafi. Betul tak?”
“Ha’ah. Ingatkan tak perasan kita orang. Al-maklumlah, orang popular.” ucap Izwanie.
“Ish..mana ada popular. Biasa-biasa aje. Orang yang anggap kita orang ni popular, tapi tak pun.” balas Rafiq.
“Awak berdua aje ke? Kawan-kawan yang lain tak join?” soal A.D kepada Wafi.
“Ada sorang lagi tapi dia bukan budak U kita. Dia sampai lambat sikit.”
“Oklah. Saya balik dulu. Kita jumpa kat rumah nanti.”
“Awak, hati-hati bawa motor tu.”

A.D mengangguk.

-------------------

“Haikal, thanks a lot because bring me here. Actually, Wafi is very busy. I memang dah lama tak jumpa dia.”
Come on, Dhira. You are my closest cousin. Of course I will help you.”
I memang tak sabar nak beri kejutan kat dia.”

Mata Haikal memandang wajah A.D yang sedang berada berhampiran dengan tempat letak keretanya. Dia seperti mengenali wajah itu. Wajah itu seperti sedikit berbeza. Dia berusaha untuk mengembalikan semula ingatannya.

Dhira, why not you go first? I’ll catch up you later. Lagi pun I tak nak ganggu saat-saat manis you. Mesti banyak benda you nak cakap dengan Wafi kan?”
“Ok. I jumpa Wafi dulu.”

Nadhira tersenyum lalu keluar daripada kereta dan terus menuju ke arah padang.
Haikal cuba mengamati dalam-dalam raut muka gadis yang kelihatan kasar di matanya itu. Peristiwa 3 tahun dahulu kembali ke kotak fikirannya.

A.D baru sahaja mahu mengenakan topi keledar tetapi suara itu memanggilnya lalu dia membatalkan niatnya.

“Hai,” sapa Haikal.

A.D menoleh. A.D tergamam. Sampai mati sama sekali dia tidak akan melupakan setiap garis yang ada di wajah lelaki itu. Tidak mungkin dia mampu melenyapkan wajah yang telah merosakkan hidupnya. Suatu ketika dulu, sepenuh kepercayaan pernah diberikan terhadap lelaki yang berada dihadapannya.

“Aku tak kenal siapa kau.”
Are you sure my dear? You’re Riana, right?
“Kepala otak kau. Siapa dear kau?”
Come on. Aku tahu kau Riana.”
“Riana dah mati.”
“Riana dah mati? Habis tu, siapa kat depan aku ni?”
“Aku cakap aku tak kenal kau.”

A.D berusaha sekeras mungkin untuk mengelak daripada Haikal. Dia tidak mahu Wafi nampak apa yang sedang berlaku.
“Dari tadi aku perhatikan kau. Aku tak silap orang rasanya. So, nak lari daripada bekas kekasih kau ke? Kau ingat dengan pakaian kau macam lelaki ni, aku dah tak kenal kau? Kau ingat dengan rambut pendek kau ni, aku boleh tak cam kau? Kau ingat, aku lupa muka perempuan yang pernah aku tidur dulu?”
“Aku tak cari pasal dengan kau, kau jangan nak cari pasal dengan aku. Kau ingat aku lupa kau siapa? Aku memang buat silap besar kenal dengan kau, bangsat. Orang macam kau ni, memang tak layak hidup kat dunia ni.”
“Wooo…woo…Riana sekarang dah pandai cakap kasar? Mana Riana yang dulu? Yang lemah lembut, kalah dengan pujuk rayu aku? Yang mudah kena tipu dengan aku? Mana Riana tu?”
“Sebab kau, aku kena tanggung semua ni.”
“Salah aku lah? Setahu aku malam tu kita buat suka sama suka kan? Aku tak akan jamah kalau bukan sebab rela.”
“Kurang ajar.”
Riana mahu memukul Haikal dengan topi keledarnya. Tetapi Haikal sempat mengelak.
“Aku tak sangka Riana yang baru ni dah lain. Memang tak sama macam dulu. Nasib baik aku dah pernah rasa kau, kalau tak mesti sekarang ni aku gigit jari kan? Tapi, tak salah kalau kau nak kita ulang semula peristiwa malam tu. Apa salahnya kan?”

Haikal cuba menyentuh pipi A.D tetapi segera saja ditepis oleh A.D. Jijik rasanya memandang lelaki itu apatah lagi bersentuhan dengan Haikal. A.D memandang Haikal dengan penuh rasa benci dan dendam. Mahu sahaja dia menyiat mulut itu. Luka lama yang belum cukup sembuh sudah berdarah kembali.

“Jangan kau ingat aku ni sama macam Riana dulu. Mulut kau dengan diri kau memang sama. Pendek kata apa yang pada kau semuanya sama. Dasar jantan tak guna. Aku memang manusia paling bodoh sebab percayakan kau. Tapi kau lebih bodoh daripada aku kalau kau ingat aku nak ulang semula peristiwa malam tu.” ucap A.D. 

Dia segera mengenakan topi keledarnya lalu segera menghidupkan enjin motosikal. Lantas A.D memerah pendikit dan memecut dengan lajunya meninggalkan Haikal.
A.D tidak menyangka lelaki tidak berguna itu kembali semula dalam hidupnya. Tiba-tiba sahaja Haikal muncul di hadapannya. Adakah itu petanda bahawa rahsianya akan terbongkar? Apa yang membimbangkan A.D ketika ini hanyalah Wafi. Dia risau jika Wafi melihat perbualan mereka tadi.





Monday, September 3, 2012

.:: Superbike itu CINTA ♥ - BAB 27 ::.






BAB 27

A.D memulas tombol pintu kamarnya. A.D mengangkat sedikit kain putih yang membaluti bahagian kakinya untuk memudahkan dia melangkah. Masih lagi jelas suara Nenek Esah tempoh hari menasihatinya sebelum pulang ke rumah. Ketika itu Wafi sedang sibuk meletakkan beg pakaian di dalam kereta.
“A.D, jangan lupa solat ya? Jangan tinggal satu waktu pun. Sebab dengan solat itulah yang membuatkan kita lebih dekat dengan Dia. Lagi satu, kalau ada kesempatan solat jemaah dengan Wafi. Bukan setakat pahalanya berlipat kali ganda. Tapi dapat mengeratkan hubungan antara suami isteri. Kita tak boleh hidup dengan kehidupan lampau. Semua orang ada masa silam. Macam nenek cakap dulu, kita memang tak mampu untuk mengubah apa yang telah terjadi tapi kita boleh baiki dan buat masa depan kita jadi lebih baik.”
Azan menandakan sudah masuknya waktu solat Isyak baru sahaja selesai kedengaran. Telekung yang membaluti tubuh A.D membuatkan dirinya merasa tenang. A.D menghampiri kamar yang terletak berhadapan dengan biliknya. Perlahan-lahan tangan A.D mengetuk pintu itu. 
Wafi baru sahaja selesai mengambil wuduk apabila mendengar bunyi ketukan itu. Hatinya mula tertanya-tanya.
Siapa pula yang ketuk ni? Pak Aziz? Tak kanlah. Mak Som pun jarang naik tingkat atas ni. A.D ke? Kalau A.D, kenapa pula dia nak jumpa aku?
Sebaik sahaja pintu dibuka, A.D yang lengkap serba putih berada di pandangannya.
“Ada apa yang boleh saya tolong?”
A.D melihat wajah Wafi. Wajah itu dibasahi dengan titisan air lantas A.D dapat mengagak yang Wafi juga mahu melakukan perkara yang sama sepertinya.
“Awak nak solat?”
“Ya,” balas Wafi sambil mengangguk.
“Kita solat sekali la.”
“Solat sekali?”
“Yalah. Dah biasa kat kampung solat berjemaah.”
Wafi tersenyum.
“Apasal awak senyum?”
“Kenapa awak tak nak cakap dengan saya, awak….jom solat berjemaah sama-sama. Lagi sedap kalau awak cakap, abang….jom kita solat berjemaah sama-sama.”
Terkebil-kebil mata A.D tatkala mendengar ayat Wafi itu. 
“Kenapa awak nak gunakan ayat lain sedangkan ayat yang saya cadangkan tu lagi mesra kan?”
“Gila ke apa?”
Wafi menggelengkan kepala sambil ketawa. Itulah A.D yang dirinduinya.
“Awak nak ke tak nak? Saya dah bentangkan sejadah tu.”
Wafi menjengah keluar. Terdapat ruang seperti ruang tamu antara biliknya dan bilik A.D. Kelihatan dua helai sudah dibentang kemas.
“Saya nak. Orang ajak saya buat pahala, takkanlah saya tak nak.”
Wafi segera menjejakkan kakinya di baris hadapan. Mereka bersama-sama menunaikan solat Isyak. Setiap surah yang dilafazkan penuh dengan tertil. A.D merasakan dirinya tenang. Seumpama ada sesuatu yang sedang meniup lembut ke dalam jiwanya yang tandus itu. 

Wafi menadah tangan sebaik sahaja selesai memberi salam. Dia memohon agar Allah memberikan mereka berdua petunjuk agar mereka dapat melalui kehidupan itu dengan jalan yang diredhai. Dia juga berharap jodohnya dengan gadis yang menjadi makmumnya tadi berkekalan hingga ke akhir hayat. 

Setelah selesai, Wafi berpaling kebelakang. Dia mahu menghulurkan tangan supaya A.D dapat bersalaman dengannya tetapi harapannya meleset. A.D sudah pun berdiri.

“Eh, awak nak pergi mana?”
“Nak masuk bilik la.”
“Awak rasa ada tertinggal sesuatu tak?”
“Tertinggal sesuatu?”
“Ya, awak rasa ada benda yang awak belum buat lagi tak?”

A.D terdiam. Dia memandang sekeliling. Akhirnya……

“Oohh..terlupa pula. Tertinggal sejadah ni.”

Selamba sahaja A.D mengambil sejadah itu lalu dilipat menjadi empat segi kecil. Dia mengambil sejadah itu untuk dibawa masuk ke dalam bilik. Wafi mengeluh.

“Selain sejadah tu?”
“Apa lagi?”
“Awak terlupa saya.”
“Awak?”
“Awak tak nak salam saya?”
“Kena salam?”
“Yalah. Isteri kena salam suami lepas dah siap solat.”
“Awakkan suami olok-olok saya. Olok-olok pun kena ke?”
“Suami olok-olok pun saya yang lafaz akad nikah tu.”

A.D seperti anak kecil, menuruti permintaan Wafi itu. Wafi menghulurkan tangan dan A.D menyambutnya. Perlahan-lahan A.D mencium tangan Wafi. Kali kedua dia mengucup lembut tangan lelaki itu atas nama suami. Pertama, ketika majlis pernikahan mereka dulu dan untuk kali keduanya ini A.D merasakan sesuatu. Sentuhan tangan sang suami terasa lembut di tangannya lalu menggetarkan nadinya dan menyebabkan hati A.D bergetar. A.D mahu terus melangkah pergi. Tidak sanggup mahu berhadapan dengan lelaki itu. Tetapi tangan Wafi pantas menahan. Mata mereka bertemu. Perlahan-lahan bibir Wafi menghampiri dahi A.D. Dia menghadiahkan satu kucupan lembut di tempat itu. A.D kaget. Wafi tidak pernah sama sekali melakukan perkara itu. Biasanya, selepas akad nikah sang isteri akan bersalaman dengan suami lalu sang suami akan mengucup dahi si isteri. Semasa hari itu Wafi tidak melakukan perkara tesebut. Tiba-tiba sahaja bibir Wafi berada di situ.
“Awak nampak cantik bila awak macam ni.” ucap Wafi sambil tersenyum.

Kemudian dia melangkah menuju ke biliknya, meninggalkan A.D yang masih terkejut dengan perbuatannya itu.

--------------------


Bunyi deruman enjin kereta sudah tidak kedengaran. A.D tersenyum simpul apabila melihat penampilannya hari itu. Dia sendiri tidak tahu apa kena dengan jiwanya. Tiba-tiba sahaja dia mahu mengenakan pakaian itu di tubuhnya. Pandangan tajam itu masih lagi jelas di matanya. Perlahan-lahan A.D membuka pintu kereta lalu keluar. Pelajar yang tutut sama meletakkan kenderaan di situ memerhatikan dirinya. Mana yang memandang sekali akan berpaling untuk kali kedua. A.D membiarkan sahaja mata-mata yang melihat. Dia sudah biasa diperhatikan sebegitu. Suatu ketika dahulu, untuk pertama kalinya dia menunggang motorsikal ke kuliah pandangan seperti itu juga diberikan. A.D terus melangkah. Mata A.D menangkap susuk tubuh itu. Izwanie dan Samsul sedang rancak berbual.

“Assalammualaikum,” ucap A.D memulakan perbualan.
“Waalaikummussalam,” balas Izwanie dan Samsul.

Bibir mereka menjawab salam A.D tetapi penglihatan mereka kaku tatkala melihat penampilan A.D. A.D mengenakan baju kurung berwarna kuning cair corak batik di bahagian bawahnya.

“Kau orang nampak hantu ke?” soal A.D sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Izwanie.
“Wanie, kau kenal tak siapa ni? Budak baru ke?” sindir Samsul.
“Sam, teruklah kau ni. Baru cuti dua minggu dah lupakan aku?”
“Aku pun tak kenal siapa perempuan Melayu terakhir ni.” kata Izwanie.
“Astaghfirullahalazim…….kau dengan Sam ni kenapa? Buang tabiat? Ni akulah, A.D.”
“A.D? Setahu akulah A.D yang aku kenal tak pakai baju kurung.” ucap Samsul.
“Amboi..kau orang kalau bab nak mengenakan aku memang tak ingat dunia kau orang nak kasi kat aku.”
“Betul ke kau ni? Sejak bila dah pakai baju kurung? Eh……kejap-kejap, macam mana kau bawa motor mask rider kau tu dengan baju kurung macam ni?”
“Kau gila aku nak naik motor besar aku tu pakai baju kurung ni?”
“Habis tu?”

------------------------


A.D memerhatikan dirinya di hadapan cermin itu. Cermin itu mampu memantulkan imej keseluruhan tubuhnya. Dia agak-agak ragu dengan penampilannya hari itu. Boleh dikatakan, sepanjang pengajiannya dia hanya memakai seluar beserta baju kemeja-T. A.D lebih selesa untuk berpenampilan kasual dan maskulin. Sesuai dengan gayanya yang menunggang motorsikal. 

A.D memusing-musingkan badannya. Risau dengan tanggapan orang lain atau lebih tepat lagi tanggapan Wafi. Hatinya berdebar-debar tatkala mahu melangkah keluar. Sebaik sahaja menutup pintu kamarnya, Wafi juga melakukan perkara yang sama sepertinya. Mata A.D sempat menangkap penampilan Wafi. Wafi sememangnya bijak dalam mengenakan gaya. Wafi mengikat rambutnya sedikit, ala rambut yakuza. Lebihan rambut dibiarkan menyentuh kolar baju. Wafi mengenakan kemeja hitam licin lengan panjang beserta tali leher biru laut. A.D sendiri tidak mengerti mengapa pagi itu dia merasakan Wafi mempunyai tarikannya tersendiri. Bukannya dia tidak pernah nampak Wafi berpenampilan segak untuk ke pejabat tetapi pagi itu hatinya seoalah-olah tidak mampu menahan perasaan itu.

Wafi tersenyum memandang A.D. Hatinya juga seperti terusik apabila melihat A.D ayu berbaju kurung. Sifat lasak dan kasar sudah pun lenyap apabila baju itu dikenakan.

“Awak nampak lain,” ucap Wafi.
“Lain? Buruk?”

Wafi menggeleng.

“Tak. Awak nampak cantik.”

A.D menguntum senyuman.

“Terima kasih.”
“Awak nak pergi kuliah naik motor ke?”
“Saya ingat nak naik teksi aje.”
“Kenapa tak nak minta tolong Pak Aziz hantarkan?”
“Saya tak nak susahkan Pak Aziz. Lagipun saya dah biasa pergi kuliah sendiri.”

Perlahan-lahan Wafi melangkah menuju ke arah A.D. Wafi mendekatkan jarak mereka. A.D dapat melihat dengan jelas wajah Wafi.

“Kalau awak tak nak Pak Aziz hantarkan, awak nak saya hantarkan ke?” soal Wafi.

A.D tidak mampu untuk membalas. Soalan itu benar-benar menduga perasaannya.

“Tak naklah. Lagipun awak sibuk.”
“Tak pun macam ni. Kita buat sistem barter nak?”
“Sistem barter?”
“Hari ni saya pergi Bina Kurnia dengan motosikal awak dan awak guna kereta saya. Setuju?”

A.D sekali lagi membisu. Dia kalah dengan pandangan itu.

“Satu…..dua…..tiga… Awak tak cakap apa-apa, maknanya awak setuju.”

Perlahan-lahan A.D menganggukkan kepalanya, menandakan dia sependapat dengan Wafi.

“Awak lagi nampak cantik bila awak tersipu-sipu malu dengan saya. Mana tahu lain kali kita boleh buat sistem barter yang lain. Hari ni kita tukar kenderaan kita, lain kali kita tukar hati antara satu sama lain pula.” kata Wafi sambil pandangannya tidak mahu melepaskan wajah A.D.

-----------------


“Amboi kau nyah…….kelas bawa Myvi kuning dengan memakai baju kurung berwarna kuning. Satu set gitu. Selama aku kenal kau, kau tak pernah kasi siapa-siapa tunggang motor hijau kau tu. Kau ingat tak dulu, masa Irwan budak kelas kita tu nak pinjam kejap je motor kau, kau bukan main tak nak kasi. Sekarang ni dengan tersenyum macam kerang busuk cakap motor kau si Wafi tu yang pakai. I smell something here. Apa aje yang kau orang berdua buat selama cuti semester ni sampai kau berubah jadi macam ni? Lebih baik kau cerita dengan kita orang.”

Lantas A.D membayangkan peristiwa CPR tempoh hari. Bermula detik itulah, perasaan itu semakin hadir tanpa diundang. Dari tadi senyuman itu tidak pudar daripada wajah A.D.

“Kau ni kenapa A.D? Dari tadi aku tengok kau tersenyum-senyum. Kau dengan Wafi dah......................” Izwanie sengaja tidak mahu menyambung penghujung ayatnya.
“Dah apa?”
“Baik kau cakap. Mesti kau dengan Wafi dah buat………”
“Buat apa Wanie? Kau jangan nak buat cerita. Aku dengan dia tak lebih daripada apa yang kau orang fikirkan. Aku dengan dia tak sebilik pun.”
“A.D, apa yang kau melalut ni? Aku tak cakap pun pasal tu. Aku nak cakap mesti kau dengan Wafi dah buat hati masing-masing jatuh cinta kan? Kalau tak, tak ada maknanya nak pakai baju kurung ni,” sambung Izwanie.
“Tak. Aku tak jatuh dengan dia. Percayalah. Aku saja nak pakai baju kurung. Tak adalah masa hari raya je aku pakai baju kurung zaman purba ni kan?”

Tetapi hati A.D mengiyakan kata-kata rakannya itu. Setiap kali mata itu memandangkan dirinya, dia merasakan dirinya cukup cantik di hadapan lelaki itu.

“Cik Jah ooii…….ayat tu tak payah nak statement artis boleh tak? Kau ingat kau tu siapa? Pakai baju lip lap lip lap kena interviu dengan wartawan Melodi? Aku tengok muka kau pun dah tahu. Berseri-seri.”
“Malas aku nak layan kau orang. Aku cakap pun memang tak nak percaya kan.”
“Ok, aku ada idea. Kalau betul kau tak ada apa-apa dengan Wafi, aku nak kau main satu permainan ni.” cadang Izwanie. Dia mahu mencungkil rahsia yang tersimpan di dalam hati A.D.

Samsul menjongket kening ke arah Izwanie. Dia mahu tahu muslihat Izwanie. Izwanie segera membisikkan sesuatu ke telinga Samsul. Samsul tersengih-sengih mendengar rancangan Izwanie.

“Main permainan? Malaslah, kau orang ni memang suka buat benda pelik dalam dunia ni. Kalau benda pelik kat dunia ni ada tujuh, ha…..kau orang berdua adalah yang kelapan.”
“Dan kau yang kesembilan sebab memang pelik kalau kau dah jatuh cinta. Kalau kau tak nak main, memang sah kau suka dengan mamat sengal tu a.k.a Wafi Azrel Shah.” ujar Samsul lagi, menyokong rancangan Izwanie.
“Ooo….jadi kau orang nak cabar akulah ni? Kau tahukan aku ni pantang dicabar. Cakaplah, permainan apa? Aku tak suka dengan mamat sengal tu.”

Izwanie mengenyitkan matanya terhadap Samsul. Sememangnya mereka tahu kelemahan A.D. A.D pantang dicabar. Itu yang memudahkan lagi kerja mereka berdua.

“Ok, kau kena sebut secara spontan perkataan yang pertama muncul dalam otak kau yang sengal juga tu bila kau dengar perkataan dari mulut aku ni. Kau tak boleh fikir. Apa yang terlintas kat otak kau, terus cakap. Kalau kau lambat cakap, maknanya memang sah tanpa ragu-ragi kau suka dengan Wafi.” terang Izwanie.
“Permainan apa ni?”
“Ala..macam cerita Kuch Kuch Hota Hai tu.”
“Kuch Kuch Hota Hai cerita Hindustan tu? Kuch Kuch Otak Hang la.”

A.D sengaja mahu mengelak.

 “Ok, aku kasi contoh. Sam, kau konon-konon jadi A.D.”

Samsul menunjukkan tanda ibu jari.

“Tomato.”
“Sos,” jawab Samsul dengan pantas.
“Kentang.”
“Goreng,”
“Ha, macam tu. Kau faham tak? Ke kau buat-buat tak faham?”
“Faham, kalau aku buat-buat tak faham korang cakap aku suka mamat sengal tu kan?”
“Tahu pun. Kau memang pandai. Sam, kau mulakan dulu, pastu aku pula. Kita gilir-gilir soal A.D.”
“Ayam.”
“Goreng.”
“Buku.”
“Baca.”
“Duit.”
“Kaya.”
“Air.”
“Hujan.”
“Pokok.”
“Kelapa.”
“Budak.”
“Sengal.”
“Rambut.”
“Panjang.”
“Ekor.”
“Kuda.”
“Hati.”
“Sayang.”
“Sayang.”
“Wafi.”

A.D terkejut. Dia sendiri tidak menyangka bibirnya akan menyebut nama insan itu. Nama itu yang terlintas apabila dia mendengar perkataan sayang. Dia sudah tidak mampu berselindung. Semuanya sudah terang malah bersuluh.

Izwanie dan Samsul berpandangan antara satu sama lain. Akhirnya mereka berjaya mengetahui isi hati A.D.

“Kau sebut apa nyah?”
“Aku tak sengaja sebut nama dia.”
“Amboi…….kalau kau nak tahu, perkara yang tak sengaja itulah sebenarnya yang datang dari hati. Nampak sangat kau dah jatuh cinta kan? Masih lagi tak nak mengaku?” soal Izwanie.

A.D membisu. Dia tidak mampu membidas.

“Alhamdulillah…..Baguslah kalau hati kau yang keras macam batu bata tu dah terbuka untuk bercinta.” sambung Samsul pula sambil menadah tangan sebagai tanda bersyukur.
“Tapi aku tak tahu. Wafi tu kan boyfriend Nadhira. Boyfriend orang beb, tak kan aku nak ambil hak orang.”
“Ya Allah, kenapa lembap sangat kau ni? Aku tengok Wafi tu baik dengan kau. Lagi-lagi masa arwah papa kau pergi. He always on your side. Aku sebagai lelaki walaupun aku ni lembut sikit, tapi aku tahu cara dia layan kau tu lain. Masalahnya sekarang ni, Wafi suami kau. Dia dah memang jadi hak kau. Mungkin inilah dia jalan jodoh kau.”
“Tapi siapa nak terima aku? Wafi boleh terima ke? Kau tahukan kenapa aku jadi macam ni sekarang? Kenapa Riana boleh hilang dan A.D yang muncul. Kau orang berdua tahu kan kenapa? Aku dah buat dosa yang besar yang terpaksa aku tanggung sepanjang hayat aku. Ini soal maruah. Maruah yang sepatutnya aku jaga tapi sekarang aku tak ada benda tu.”
“A.D, semua orang pernah buat silap. Semua orang pernah buat dosa. Benda lepas, biarkan lepas. Kau berhak untuk hidup bahagia kat dunia ni. Satu-satunya cara, kau kena berhadapan dengan kenyataan kau sendiri. Jangan lari, sampai bila kau nak lari? Apa kata kau cuba terus terang dengan Wafi. Mungkin inilah caranya. Sudah sampai masanya kau hadapi dan berhenti berlari.”

A.D memandang wajah Izwanie. Senang benar Izwanie meminta dirinya untuk berterus terang. Dia sendiri tidak mampu untuk menerima kesilapannya, apatah lagi orang lain.

“Kau gila ke Wanie? Aku tak mungkin akan terus terang dengan Wafi. Aku tak nak dia kecewa.”
“A.D, betul kata Wanie tu. Cuma ini saja caranya. Sekurang-kurangnya kau jujur dengan Wafi. Mungkin mula-mula dia tak dapat terima kau, tapi mana tahu lama-kelamaan dia boleh terima kau. Kalau dia boleh melihat kelembutan di sebalik A.D yang kasar, tak mustahil dia boleh melihat ketulusan di sebalik Riana.”
“Riana dah lenyap dalam hidup aku. Aku lebih rela macam ni. Aku tak nak sesiapa pun tahu. Kau nak aku buka pekung aku sendiri ke?”
“A.D, ini bukan soal buka pekung. Ini soal bagaimana caranya kau nak berhadapan dengan masalah kau. Soal Riana lenyap kat dalam dunia tak timbul. Selagi masalah ni tak selesai, sampai bila-bila kau akan rasa macam ni. You must move on, A.D. Tak ada manusia yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan dan tak ada juga manusia yang berjaya yang tidak ada kisah lampau. Kita orang akan sentiasa sokong kau. Sebab aku dengan Samsul sayangkan kau. Kalau kita orang tak sayang kau, kita orang tak akan ada kat sisi kau. Aku nak tengok kau bahagia.” ucap Izwanie.

Dia mahu A.D membuka mata. A.D mesti melakukan perkara itu. A.D harus berterus terang dengan Wafi mengenai hal yang menghantuinya selama ini. Dia sudah tidak sanggup melihat A.D tersenyum gembira sedangkan jiwa itu penuh dengan kesedihan. Setiap senyuman yang terukir dibibir A.D, pasti diiringi dengan kepahitan. Meskipun A.D cuba membunuh masa silamnya tetapi Izwanie tahu masa lampau itu tetap hidup dan terus mengejar diri A.D.   

Biarpun A.D cuba membina tembok penghadang yang sukar untuk ditembusi mana-mana lelaki tetapi tembok itu dibina kerana rasa kecewa dan dendam. Sesungguhnya perasaan dendam dan kecewa tidak mampu mengatasi kuasa kasih sayang. Akhirnya, Wafi berjaya meruntuhkan prinsip kebal A.D selama 3 tahun ini. Mungkin Wafi adalah orangnya. Dan, inilah masanya A.D mengecap kebahagiaan.

A.D membisu. Dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan kenyataan itu bersama dengan Wafi. Dia dapat mengagak Wafi akan memandangnya dengan penuh kebenciaan jika rahsia itu diberitahu. Dia cuma mahu hidup seperti orang lain tetapi A.D tahu, dia tidak boleh.

“Kau orang tak akan faham perasan aku. Aku harap, aku tak kenal siapa diri aku sendiri. Apatah lagi nak beritahu orang lain siapa aku sebenarnya,” ucap A.D smbil bangun lalu melangkah pergi meninggalkan Samsul dan Izwanie di situ.